Artikel PilihanBuletin

JAGUAR LAND ROVER SALAHKAN CHINA AKIBAT KERUGIAN 2018

Pembuat kereta Jaguar Land Rover yang kini dimiliki Kumpulan TATA menyalahkan permintaan yang semakin menurun di China yang mengakibatkan kerugian besar syarikat itu pada suku keempat tahun 2018.

Masalah kewangan Jaguar Land Rover telah diketahui ramai. Pada Q3 2018, pengeluar kereta mencatatkan kerugian sebanyak USD$113 juta yang mengakibatkan beribu kakitangannya terpaksa diberhentikan sebagai sebahagian daripada pelan penyelamatan syarikat yang berjumlah $3.15 bilion.

Ia juga antara kemungkinan besar kenapa Range Rover SV Coupe dibatalkan sebelum memasuki produksi.Pembuat kereta itu telah mengumumkan pendapatannya untuk suku akhir tahun 2018, dan ia nampaknya masih belum pulih.

Pada suku keeempat 2018, pengeluar kereta itu mencatatkan kerugian yang besar sebanyak USD4.4 bilion akibat daripada pengurangan nilai kilang pengeluaran dan juga pelaburan lain. Walaupun tanpa mengambil kira penyusutan nilai ini, Jaguar Land Rover masih rugi sebanyak $354 juta.

Bagi bulan Oktober hingga Disember, pembuat kereta tersebut menjual 144,602 unit, turun dari 154,447 yang dijual dalam tempoh yang sama pada tahun 2017, mewakili penurunan sebanyak 6.4 peratus.

Pendapatan bersih menurun sebanyak satu peratus, ($8 bilion). Ini adalah kerugian suku ketiga berturut-turut bagi dua jenama kereta British itu.

“Ini adalah masa yang sukar untuk industri, tetapi kami tetap fokus untuk memastikan pertumbuhan yang mampan dan menguntungkan, dan membuat pelaburan yang disasarkan yang akan menjamin perniagaan kami pada masa akan datang,” kata Dr. Ralf Speth, Ketua Pegawai Eksekutif Jaguar Land Rover.

Walaupun terdapat jualan suku ketiga yang kukuh di UK dan Amerika Utara, Jaguar Land Rover berkata “Prestasi keseluruhan terus dipengaruhi oleh keadaan pasaran yang mencabar di China,” yang menyaksikan penurunan jualan sebanyak 47 peratus di sana.

Walaupun mempunyai 13 model berbeza dalam dua jenama (Jaguar & Land Rover), jualan hanya meningkat untuk I-Pace, E-Pace, Range Rover, dan Range Rover Sport dalam tempoh tiga bulan.

Google ads
Back to top button