JIKA ADA SATU LITAR YANG SEMUA ORANG INGIN BERLUMBA, INILAH DIA – ISLE OF MAN TT

SHARE

Bulan Ramadhan sudah pun memasuki penghujungnya dan tak lama lagi ramai yang akan bercuti untuk berhari raya. Sambil-sambil tunggu orang rumah membeli belah pakaian ataupun biskut tu apa kata korang semua baca sedikit pasal sejarah perlumbaan motosikal tertua di dunia, perlumbaan TT Isle of Man.

Perlumbaan TT ataupun Tourist Trophy Isle of Man telah berusia lebih dari 100 tahun sejak mula diperkenalkan pada tahun 1907. Namun begitu ia masih dibanjiri ramai pelumba setiap musim panas untuk memburu kejuaraan piala bersejarah itu.

BACA: 10 LITAR PALING BERBAHAYA DI DUNIA

Perlumbaan ini asalnya diadakan untuk memupuk semangat kesukanan dan kecintaan kepada dunia perlumbaan oleh mereka yang terlibat. Ia diadakan di pulau ini kerana pada masa itu perlumbaan di atas jalan raya tidak dibenarkan oleh Akta Parlimen yang ditetapkan oleh kerajaan British.

Malah had laju 20 batu sejam turut dipekenalkan di jalan-jalan raya British pada tahun 1903. Jadi Setiausaha Kelab Automobile Great Britain dan Ireland pada masa itu, Sir Julian Orde telah berkunjung ke Isle of Man pada tahun 1904 kerana beliau percaya pihak berkuasa Manx adalah lebih terbuka dengan konsep perlumbaan di atas jalan raya.

Telahan Sir Julian Orde memang tepat kerana pihak berkuasa pulau tersebut telah memberi kelulusan untuk perlumbaan di jalankan di jalan raya sepanjang hampir 90 kilometer di kawasan tanah tinggi Isle of Man.

Perlumbaan yang pertama ialah perlumbaan kereta yang dinamakan Gordon Bennet Car Trial pada tahun 1904 khusus untuk kereta-kereta keluaran Eropah.

Setahun selepas itu perlumbaan motosikal diperkenalkan sehari selepas perlumbaan Gordon Bennet Car Trial. Bagaimanapun keadaan tanah tinggi adalah terlalu mencabar untuk motosikal ketika itu membuatkan ia dipindahkan ke lokasi lain.

Hanya pada tahun 1911 baharulah perlumbaan motosikal diadakan kembali di kawasan tanah tinggi tersebut.

Perlumbaan motosikal dicadangkan oleh editor majalah The Motor-Cycle pada satu jamuan Auto-Cycle Club di London pada tahun 1907. Ia dibahagikan kepada dua kelas iaitu motosikal dengan silinder tunggal dan silinder berkembar.

Ini berikutan perbezaan ciri kedua motosikal yang agak besar. Penganjur juga menetapkan peraturan untuk penggunaan pelana, pedal-pedal kaki, mudguard dan peredam bunyi.

Pada 1911, Tourist Trophy Isle of Man diadakan buat pertama kali di Litar Snaefell Mountain yang terkenal.

Auto Cycle Union ataupun ACU juga telah mengumumkan sambungan baharu kepada litar yang menyaksikan perlumbaan kelas Junior mengambil jarak 150 batu dan kelas Senior sejauh 189 batu.

Tahun ini juga menyaksikan pengeluar motosikal terkenal dari Amerika, Indian merangkul tiga tempat teratas perlumbaan.

Tahun berikutnya maruah syarikat motosikal British kembali ditebus dengan kemenangan tempat pertama dan kedua oleh syarikat Douglas. Perlumbaan tahun ini juga nyaris diboikot peserta kerana rata-rata motosikal cuma menggunakan gear tunggal dan mengalami kesulitan untuk menakluk litar tanah tinggi yang mencabar.

TERHENTI AKIBAT PERANG

Perlumbaan TT telah dihentikan untuk beberapa tahun berikutan Perang Dunia Pertama dan Kedua sebelum disambung semula pada tahun 1947.

Tahun 1949 pula menyaksikan lokasi ini menjadi medan perlumbaan Motorcycle World Championship. Disebabkan itu juga pada tahun berikutnya, ramai para pelumba kejuaraan dunia semakin berminat untuk menyertai perlumbaan TT di pulau ini.

Era keemasan perlumbaan TT merupakan sekitar tahun 60-an sehingga 80-an. Nama-nama pelumba seperti Mike Hailwood, Giacomo Agostini dan Jim Redman sentiasa meniti bibir peminat perlumbaan motosikal. Malah perlumbaan ini juga dimeriahkan lagi dengan penyertaan syarikat pengeluar motosikal Jepun, Honda.

Perlumbaan antara Mike Hailwood dan Giacomo Agostini yang masing-masing menggunakan motosikal Honda dan MV Agusta pada tahun 1967 dalam kelas senior dikatakan sebagai perlumbaan terbaik sepanjang zaman. Hailwood pernah memenangi perlumbaan TT sebanyak 14 kali dan Agostini sebanyak 11 kali.

Ramai lagi pelumba ternama muncul selepas mereka seperti Joey Dunlop dan juara kejuaraan superbike dunia (WSBK) Carl Fogarty. Perlumbaan TT bagaimanapun dibatalkan pada tahun 2001 berikutan penyakit kuku dan mulut yang melanda Eropah.

Seratus tahun seakan berlalu dengan pantas dan mungkin perlumbaan ini akan terus kekal buat seratus tahun akan datang. Harap-harap kami pun akan berpeluang untuk menunggang di sana suatu hari nanti walaupun bukan untuk berlumba. Cukuplah sekadar untuk merasai pengalaman menunggang di litar pergunungan yang paling terkenal di dunia.

 

 

(Visited 1,244 times, 29 visits today)

Share this post

scroll to top