JUALAN 2017 PROTON STABIL – BERJAYA JUAL 70,991 UNIT KENDERAAN

SHARE

PROTON berjaya menstabilkan jualannya pada tahun 2017 apabila mencatat jumlah jualan keseluruhan sebanyak 70,991 unit,  berbanding 72,291 unit  tahun sebelumnya.

Jualan runcitnya meningkat 2.5 peratus kepada 68,184 unit pada 2017 berbanding 66,513 unit pada 2016.

Pertumbuhan memberangsangkan berlaku di kawasan Tengah, Selatan, Pantai Timur dan Timur Malaysia yang mencatatkan peningkatan di antara satu hingga sepuluh peratus.

Permintaan teksi yang rendah membuatkan jumlah keseluruhan jualan fleet sedikit terjejas kepada  2,807 unit pada 2017. Saga, Persona dan Ertiga mewakili 80 peratus jumlah jualan kereta PROTON bagi 2017.

Kereta terlaris PROTON, Saga mencatatkan jualan yang kukuh melebihi 30,000 unit pada 2017. Sebagai sedan paling mampu milik, Saga masih dilihat sebagai kereta yang memberikan nilai hebat dalam segmennya.

Ia mampu mengekalkan populariti dalam kalangan pembeli pertama atau pembeli kereta kedua Proton. Persona pula mencatatkan kenaikan sebanyak 27 peratus dengan 19,510 unit dijual berbanding 15,390 unit tahun lepas.

Ertiga turut mendapat maklum balas yang baik di pasaran dengan jualan sebanyak 6,091 unit pada 2017.

Antara sebab yang menjadikan jualan kereta kami stabil pada 2017 adalah kerana usaha peningkatan kualiti yang agresif dilakukan di peringkat dalaman. Rakan kongsi PROTON,  Geely Auto melakukan pemeriksaan audit kualiti yang ketat.

Dalam masa dua bulan, PROTON dapat meningkatkan poin kualiti sebanyak tiga kali ganda. Audit tersebut diukur menggunakan sistem yang teliti, setanding dengan piawaian antarabangsa kereta Volvo.

“Kami melihat tahun 2018 dengan lebih positif dan berharap dapat meningkatkan usaha untuk menjadi lebih baik. Tahun ini merupakan tahun kritikal buat PROTON memandangkan kami akan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang sejajar dengan Rancangan Perniagaan 3 hingga 10 tahun yang baharu, yakni kunci kepada pemulihan Syarikat.

“Bagi meningkatkan jumlah jualan, kami akan mengambil mengambil langkah-langkah yang perlu seperti kempen yang lebih menarik untuk pengguna. Selain meningkatkan kualiti produk serta perkhidmatan,” kata Naib Presiden Jualan & Pemasaran PROTON, Abdul Rashid Musa.

Sempena sambutan Tahun Baru Cina, PROTON memberi ganjaran kepada pelanggannya melalui diskaun hebat untuk semua model Proton. Antaranya ialah penjimatan sehingga RM3,500 untuk Saga, RM4,500 (Persona), RM5,000 (Iriz), RM5,500 (Exora) dan RM13,888 bagi Perdana.

PROTON EXORA FACELIFT 2015

Bukan itu sahaja, pemilik PROTON dijemput untuk melakukan pemeriksaan keselamatan 20 mata percuma di mana-mana pusat servis sah.

Maklumat lanjut, sila hubungi talian khidmat pelanggan PROTON di talian: 1800 888 398 atau emel ke: customercare@proton.com. Pelanggan boleh melayari laman web www.proton.com atau Facebook rasmi PROTON: www.facebook.com/ProtonCarsOfficial.

Untuk kemudahan tambahan, pelanggan juga boleh memuat turun aplikasi rasmi mudah alih MyProton, yang boleh didapati melalui Google Play dan Apple App Store.

Share this post

scroll to top