KENAPA KERETA MODEN SEMAKIN BANYAK GEAR? (DAN LEXUS BARU INI ADA TRANSMISI 10 KELAJUAN)

SHARE

Kini kotak gear enam-kelajuan sudah menjadi kebiasaan dalam dunia automobil khususnya untuk segmen kereta penumpang. Kotak gear lima-kelajuan manual dan tiga-kelajuan automatik sudah menjadi kenangan dari zaman terdahulu.

Ingat mula-mula Kancil automatik diperkenalkan? Ia cuma menggunakan kotak gear tiga kelajuan. Itu pun dah dikira canggih pada masa itu. Bagaimanapun jumlah gear kelajuan kini dikatakan sedang bertambah sedikit demi sedikit dengan adanya pengeluar yang menawarkan sehingga tujuh-kelajuan mahupun lebih gear. Angka ini bergerak naik dengan pantas dan tidak menunjukkan tanda akan berhenti ataupun dikurangkan. Tapi kenapa?

Semestinya kerana ia memberikan tahap ekonomi bahan api yang lebih baik, pecutan yang lebih pantas dan tukaran yang lancar. Penambahan jumlah gear memberikan faedah yang cukup besar dan memberikan pengalaman memandu yang lebih baik.

Lexus merupakan contoh terbaik untuk menunjukkan bagaimana kota gear moden berfungsi. Contohnya ialah bagaimana kotak gear 10-kelajuan Direct-Shift yang dipadankan kepada Lexus LC 500 akan memacu dunia automotif di masa hadapan.

MASALAH “CLUTCH DRAG”

Suatu ketika dahulu, kotak gear automatik konvensional dihalang daripada menambah jumlah gear akibat masalah tarikan klac (clutch drag). Ia situasi yang menyebabkan kehilangan kuasa sewaktu tukaran gear dilakukan. kesan ini juga banyak membazirkan kuasa enjin. Penambahan jumlah gear juga akan memaksa enjin bekerja lebih keras dan bukannya sesuatu yang menjimatkan bahanbakar.

Bagaimanapun kemajuan teknologi moden dalam bidang transmisi membolehkan para pengeluar menambah jumlah gear dan menyelaraskannya dengan kuasa enjin dengan lebih baik pada RPM yang rendah. Ini bermakna kegunaan bahan api berjaya dikurangkan sewaktu penukaran gear sekaligus membolehkan kotak gear moden (8-kelajuan dan ke atas) membuat penjimatan bahan api sehingga 26 peratus lebih baik. Angka tersebut ialah berdasarkan perbandingan yang dibuat dengan kotak gear automatik tiga-kelajuan suatu ketika dahulu.

Apa yang lebih menarik ialah kereta yang dilengkapi dengan kotak gear automatik kini sudah mencapai tahap efisyen kereta dengan kotak gear manual yang selama ini dikatakan lebih menjimatkan. Ini kerana penambahan gear membolehkan gear yang lebih tinggi ditambah untuk menjadikan ia lebih efisyen (ia biasanya diaktifkan sewaktu dalam kelajuan tinggi untuk penjimatan dan juga merendahkan RPM enjin).

GEAR SEDIKIT, TRANSMISI TIDAK LANCAR

Masalah pada kotak gear konvensional lazimnya ialah gegaran enjin dan ketidakstabilan merupakan perkara biasa jika anda terpaksa bergerak dalam kesesakan lalu lintas. Dalam keadaan ini, kereta dengan kotak gear automatik terdahulu akan sentiasa bergerak antara gear-gear rendah dan menyebabkan lonjakan pada RPM enjin membuatkan perjalanan anda tidak selesa. Ia juga berlaku disebabkan kurangnya jumlah gear pada kelajuan rendah untuk dipilih membuatkan tork yang lebih diperlukan untuk menggerakkan kereta.

Kotak gear automatik pelbagai kelajuan moden akan menawarkan pilihan gear yang banyak berdasarkan keperluan dan menyebabkan tukaran gear hampir tidak dapat dirasai. Contohnya bagi model Lexus LC 500 terbaru, empat gear paling rendah melakukan tugas yang selama ini cuma dilakukan oleh dua gear sebelum ini.

Ini akan memberikan pemanduan yang serba lancar dan lebih efisyen. Sebaik keluar dari kesesakan trafik, enam lagi pilihan kelajuan akan menyebabkan kelajuan bertukar menjadi selembut sutera.

Seperti yang diharapkan ramai peminat, kotak gear 10-kelajuan terbaru ini bukan hanya lebih menjimatkan tetapi juga memberikan prestasi yang diinginkan semua pemandu. Dari segi pecutan, kotak gear ini membolehkan enjin membekalkan tork yang konsisten sepanjang masa anda membuat pecutan yang lancar dan pantas. Lexus LC500  mampu membuat pecutan 0-100 km/j hanya dalam masa 4.4 saat.

KELAJUAN TERTINGGI YANG LEBIH BAIK

Selain daripada itu, jumlah gear tinggi ataupun atas yang banyak akan memberikan anda kelebihan kelajuan yang lebih baik. Lexus ini contohnya mempunyai kelajuan maksima 270 km/j. Pilihan gear yang banyak juga memudahkan tukaran gear yang tepat dilakukan jika ingin memotong untuk mengelakkan kehilangan tork dan memberikan pecutan yang lebih.

Kelebihan kotak gear 10-kelajuan Direct-Shift ini digunakan Lexus untuk menghasilkan model yang menjimatkan bahan api tetapi pada masa yang sama cukup berkuasa dan mampu  memecut dengan laju. Lexus 500 LC adalah contoh terbaik kehebatan kotak gear 10-kelajuan yang baharu sahaja diperkenalkan.

 

 

 

(Visited 533 times, 5 visits today)

Share this post

scroll to top