KERETA BUATAN CHINA LEBIH BERKUALITI BERBANDING EROPAH – VOLVO

Volvo S90

SHARE

Sebelum ini, kalau sebut sahaja kereta buatan China, kita mesti terbayangkan kereta yang tidak cukup sifat atau dengan kualiti ke laut.

Tetapi, sama ada kita mahu akui atau tidak, kereta-kereta buatan sebahagian syarikat China kini sebenarnya sangat berkualiti.

Sehingga satu tahap, jika ditutup logonya, sukar untuk kita menjangka ia datang dari China, bukan dari Eropah, Jepun mahupun Korea.

Perkembangan positif itu dinyatakan penuh yakin oleh pengeluar kenderaan berpengaruh dari Sweden, Volvo. Sebagaimana yang kita tahu, Volvo kini milik Geely Auto yang juga memiliki Proton, Lotus dan Daimler.

Volvo menyatakan bahawa kenderaan yang dibina di China sebenarnya memiliki kualiti lebh baik berbanding yang dibuat di Eropah.  

Dalam satu temubual dengan media Australia, Go Auto, Naib Presiden Kanan Reka Bentuk Volvo, Robin Page memberitahu wujud kebimbangan apabila Volvo mengambil keputusan untuk menghasilkan keretanya di China.

“Hasil kajian kami mendapati kualiti kereta buatan China adalah lebih baik. Semua orang bimbang tentang kualiti, tetapi apabila mereka (China) mula membuat kereta, kualitinya jauh lebih baik,” jelas Page.

Sebagai bukti, kilang-kilang milik Geely di China dikatakan mampu menghasilkan kereta berkualiti tinggi kerana mereka tidak bergantung sepenuhnya kepada automasi.

“Mungkin perbezaannya tidak terlalu besar. Tetapi jika anda benar-benar membuat penelitian, kualiti kereta buatan China memang bagus. Jadi, kami tidak rasa bimbang,” tambah Page.  

Volvo mula mengeksport kenderaan yang dihasilkan di China ke seluruh dunia pada tahun 2014 menerusi model S60 generasi terdahulu. Volvo juga memindahkan produksi sedan S90 dari Sweden ke China pada tahun 2016.

Share this post

scroll to top