Artikel PilihanBuletin

KERETA-KERETA ROLLS-ROYCE YANG TIDAK DIKETAHUI RAMAI

Rasanya tak ada orang yang tidak kenal dengan Rolls-Royce. Kereta mewah yang menjadi idaman ramai dan menjadi kenderaan rasmi raja-raja dan pembesar di seluruh dunia. Ia juga menjadi simbol status yang menjadi kebanggaan pemiliknya sejak Rolls-Royce diperkenalkan lebih 100 dulu.

Tapi tentu ramai yang tak tahu Rolls-Royce ini juga mampu memberikan kejutan dengan model-model mereka yang ganas lagi menggemparkan. Tengok contoh-contoh di bawah.

Paris-Dakar Rolls-Royce Corniche

Paris Dakar merupakan acara rali tahan lasak tahunan yang cukup mencabar dan semestinya memerlukan kenderaan 4×4 sebenar untuk memastikan kejayaan peserta. Sudah semestinya jentera rali Rolls-Royce Corniche ini tidak akan memberikan keselesaan seperti mana model standard. Ia kini menggunakan enjin Chevrolet V8 350 bhp dan kemudiannya digandingkan dengan casis dan kotak gear Toyota HJ45 Land Cruiser.

Walaupun diketawakan ramai sebaik bermulanya permulaan, kereta rali mewah ini berjaya menutup mulut pengkritik dengan catatan tempat ke-13 walaupun perlumbaan baru separuh jalan berlangsung. Sayangnya mereka telah terlanggar pokok selepas itu dan gagak meneruskan perlumbaan.

Rolls-Royce Phantom FB1

Ia merupakan model istimewa kerana dihasilkan bertujuan mengutip derma untuk kempen kebajikan barah buah dada UK. Ia berwarna merah jambu luar dan dalam selain dihiasi reben putih yang melambangkan kempen tersebut selain dilengkapkan dengan nombor pendaftaran FAB1 yang ikonik. Ia kini boleh disewa dengan semua kutipan disalurkan untuk kebajikan.

Rolls-Royce Phantom V John Lennon

John Lennon bersama kumpulan The Beatles memang tidak perlu diperkenalkan lagi (kecuali kalau anda salah seorang budak-budak wechat). Mereka mengubah hala tuju muzik pop dunia dan Lennon sendiri seorang yang cukup lantang dalam bersuara tentang isu-isu tertentu. Hiasan unik pada Rolls-Royce beliau memang menimbulkan kontroversi. Lennon sendiri pernah memberitahu yang seorang wanita pernah memaki dan menyerang beliau dengan payung kerana tidak berpuas hati dengan cara beliau menghias Rolls-Royce milik beliau.

Rolls-Royce Vision 1 Concept

Ini merupakan model konsep kereta berautonomi keluaran Rolls-Royce. Ia sepanjang 20 kaki dengan2-tempat duduk yang akan memberikan keselesaan tanpa batasan kepada penumpangnya.

SUZUKI PLAZA – SEJARAH SUZUKI YANG TERSEMBUNYI DI JEPUN

Rolls-Royce Dawn Art Car

Ini bukannya kereta pertama yang menggantikan kanvas sebagai tempat meluahkan karya seni tetapi inilah kali pertama Rolls-Royce digunakan menggantikan kanvas. Ia merupakan hasil kreativiti seorang artis dari Brazil bernama Romero Britto.

Kereta Perisai Rolls-Royce

Rolls-Royce pernah dikritik sewaktu menghasilkan Cullinan, sebuah SUV kerana ia dikatakan tidak mempunyai ciri-ciri sebuah Rolls-Royce. Tapi sebenarnya ramai yang tersilap kerana Rolls-Royce telah mula mengeluarkan kereta sebelum kebanyakan jalan diturap di seluruh dunia.

Sewaktu Perang Dunia Pertama, tentera Belgium pernah melobi kerajaan British tentang betapa pentingnya kereta perisai dalam pertempuran. Hasilnya lahirlah kereta perisai Rolls-Royce yang diasaskan daripada model standard tetapi dengan penambahan plat-plat berperisai dan mesingan Vickers 0.303.        

Tiger Hunting Phantom Torpedo Sports Tourer

Jika anda rasa kereta perisai Rolls-Royce tadi sudah cukup hebat terdapat sebuah lagi model yang dikategorikan sebagai mesin pembunuh. Ia merupakan model tempahan khas Maharaja Kotah sekitar tahun 20-an dan digunakan untuk kegunaan memburu. Model Rolls-Royce Phantom Torpedo Sports Tourer 1925 beliau itu dilengkapi dengan segala keperluan untuk memburu seperti raifal khas untuk memburu gajah dan juga mesingan. Nak bunuh binatang apa pakai mesingan eh?

Rolls-Royce V16 Phantom Johnny English

Rasanya semua peminat tahu yang Rowan Atkinson yang memainkan peranan sebagai Mr. Bean dan Johnny English memang peminat kereta sebenar. Beliau pernah memiliki McLaren F1 dan memandunya setiap hari. Atkinson dikatakan pernah melawat kilang Rolls-Royce dan mengetahui tentang enjin V16 yang ada di sana dan meminta enjin tersebut dipasang pada Phantom menggantikan enjin 6.75-liter V12 asal. Kereta tersebut kemudian muncul dalam filem Johnny English Reborn siap dengan hiasan bonet Spirit of Ectasy yang mampu menembak laser.

Rolls-Royce Sweptail

Ia merupakan model one-off yang ditempah oleh seorang pembeli misteri yang enggan dikenali dengan harga melebihi RM53 juta! Ia diasaskan daripada model Phantom Coupe tetapi kini dengan kemasan badan bertemakan era keemasan tahun 20-an. Ia juga bagaikan sebuah kapal layar yang beroda kerana mempunyai kemasan krom yang besar selain kemasan kayu Paldao berkilat di bahagian dalam yang boleh dilihat dengan jelas menerusi bumbungnya yang berkaca dan boleh dibuka.

Jonckheere Aerodynamic Coupe

Ini antara sebuah Rolls-Royce yang mempunyai sejarah yang panjang. Ia asalnya ialah sebuah Phantom I Coupe tahun 1925 dan dibeli oleh salah seorang adik beradik Dodge tetapi mereka meninggal dunia sebelum urusan jual beli selesai. Ia kemudiannya dobeli oleh Raja Nanpara yang kemudiannya membawa kereta ini ke India. Selepas beberapa kali bertukar tangan, kereta ini akhirnya sampai ke Belgium dan kemudiannya menjalani pembedahan kosmetik di Jonckheere untuk menjadikannya lebih radikal dan lebih agresif.

Entah macam mana Jonckheere Aerodynamic Coupe ini kemudiannya ditemui di sebuah kedai besi lusuh di New Jersey selepas selamat dari Perang Dunia Kedua. Seorang pengumpul bernama Max Obie telah membelinya dan mengecatnya dengan cat emas sebenar. Obie kemudian mendakwa kereta ini sebagai kepunyaan King Edward sebelumnya dan mengenakan bayaran untuk sesiapa yang ingin melihatnya.

Kereta ini kemudian dibeli oleh seorang peminat dari Jepun dan kemudiannya dibeli oleh Petersen Museum Los Angeles. Ia kembali direstorasi dan kini menjadi koleksi paling berharga mereka sehingga ke hari ini.

Kredit Carbuzz.com

Google ads
Back to top button