Buletin

KERETA RETRO INI LAKU HABIS 60 UNIT DALAM MASA 7 JAM!

Pada minggu lepas di acara Goodwood Revival, Caterham telah melancarkan model Seven SuperSprints yang telah mendapat sambutan luar biasa.

Hanya 60 unit sahaja model retro itu dipasarkan dan kesemuanya habis terjual dalam masa tujuh jam sahaja. Model SuperSprint itu adalah versi retro Seven kedua yang diperkenalkan dalam masa 12 bulan bagi meraikan ulang tahun ke-60 model Seven.

Rekod jualan ini juga adalah yang terpantas pernah dicapai dalam sejarah jualan Caterham. Berdasarkan rekod tahun lalu, Caterham turut melancarkan model Sprint dan ia memerlukan tujuh hari untuk dihabiskan.

Harga jualan SuperSprint pula bukan murah iaitu GBP 29,995 atau bersamaan RM 170,906.94. Sebanyak 30 unit SuperSprint dikhaskan untuk pasaran UK dengan bakinya untuk negara Eropah lain.

Trend penjualan SuperSprint dan Sprint menunjukkan terdapat minat yang besar terhadap kereta dengan gayaan retro di UK. Walaupun kesemua 60 unit sudah habis dijual namun Caterham tetap mengambil deposit untuk senarai menunggu jika ada pembeli yang membatalkan niat mereka.

Salah satu sebab kenapa SuperSprint mendapat sambutan ialah gayaan cafe racer yang menjadi trend masa kini. Kereta retro ini dikuasakan oleh enjin tiga silinder berkuasa 95 bhp yang ditala oleh Caterham Works Racing. Kereta ini walaupun ala versi perlumbaan tetapi ia turut sesuai digunakan di atas jalan raya.

Kelengkapan retro yang dipasangkan pada kereta ini ialah cermin depan Brooklands, kerusi balutan kulit jenis Innes tan Scottish Muirhead, stereng sport dengan lingkaran kayu dan grafik perlumbaan ala 60 an.

Caterham Seven Supersprint ditawarkan dalam enam pilihan warna dengan nama unik sempena litar perlumbaan iaitu Aintree (hijau dengan gril jingga), Hockenheim (perak dengan gril merah) dan Imola (merah dengan gril putih). 

Untuk menyerlahkan lagi gayaan retro, Caterham turut menawarkan varian kerusi tunggal siap dengan penutup tonneau sebelah pemandu yang dapat mengurangkan berat badan kereta ini.

BACA: LEGO AKAN HASILKAN SET CATERHAM SEVEN

BACA: TAHUKAH ANDA ASAL USUL CAFE RACER?

Google ads
Back to top button