KERETA TANPA SST – KEBAIKAN DAN KEBURUKAN POLISI INI

SHARE

Selepas Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan pada Mei lalu, rakyat Malaysia telah ‘dianugerahkan’ dengan kelepasan cukai barangan dan perkhidmatan (CBP) dari bulan Jun hingga Ogos 2018.

Pelepasan itu telah melonjakkan jualan kenderaan sehingga terdapat pengeluar yang kehabisan stok untuk ditawarkan.

Pembeli merebut peluang ini dan nampaknya rakyat dijangka dapat terus menikmati kelepasan cukai apabila Kastam Diraja Malaysia (KDRM) telah meletakkan kenderaan seperti kereta dan motosikal di bawah cadangan senarai pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan.

Ini bermakna jika diluluskan di dewan rakyat dalam masa terdekat, kereta dan motosikal tidak akan dikenakan cukai jualan selepas 1 September nanti.

Berdasarkan bacaan sepintas lalu di dalam senarai yang dimuat naik di laman web KDRM, kenderaan yang terlibat dalam senarai ini adalah jenis pemasangan tempatan sepenuhnya atau Completely Knocked Down (CKD).

Senarai yang disediakan meliputi pelbagai jenis kenderaan dari kereta penumpang, kereta lumba, motosikal, kapal terbang hinggalah kepada kapal persiar.

Namun adakah keputusan ini memberi faedah kepada rakyat? Di bawah ini kami sediakan implikasi umum pelepasan cukai kepada rakyat:

Kebaikan:

  1. Harga kereta CKD lebih murah merentasi segmen dan ini sebenarnya adalah sebahagian daripada hasrat Pakatan Rakyat/Harapan sejak pilihanraya ke-13 lagi
  2. Polisi penurunan harga oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini ialah kenderaan perlu memenuhi piawaian cekap tenaga (EEV) untuk mendapat insentif cukai selain daripada pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D)
  3. Akses kepada kereta lebih murah – memandangkan kebanyakan kereta CKD berada dalam lingkungan kemampuan rakyat terbanyak maka ia akan menjadi lebih mampu milik. Berdasarkan kiraan awal, pembeli dapat menikmati penjimatan di antara RM30.00 hingga RM70.00 sebulan (bergantung kepada harga) daripada ansuran bulanan biasa.
  4. Julat itu walaupun kelihatan kecil namun akan menjadi berbaloi jika dijumlahkan kepada setahun atau sembilan tahun
  5. Menggalakkan penambahan pelaburan oleh pengeluar – Jika benar kenderaan CKD hanya layak untuk berada dalam senarai pengecualian, tidak dapat tidak kenderaan CBU mahupun recond akan berada di bawah kelompok diskriminasi cukai 
  6. Jika pengeluar mahu menambah penawaran selain daripada menguasai pasaran, mereka harus melihat kepada keistimewaan yang diberi kepada model yang dipasang di dalam negara berbanding CBU
  7. Di atas kertas, polisi ini dijangka dapat menambah lagi pelaburan pengeluar asing ke dalam negara
  8. Tidak dapat tidak, keputusan seperti ini mempunyai unsur populis dan dijangka menambah populariti kerajaan PH

Keburukan

  1. Nilai kenderaan yang dimiliki oleh rakyat akan terjejas memandangkan harga kereta baharu lebih rendah
  2. Nilai tersebut akan dapat dilihat apabila kereta dinilai oleh penjual kereta terpakai semasa proses tukar beli (trade in)
  3. Hasil kepada kerajaan akan berkurangan dan dikhuatiri bakal merencatkan pelbagai program sosial yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan 
  4. Hasil yang sepatutnya diperolehi daripada SST boleh dikembalikan kepada rakyat melalui program biasiswa, pendidikan, kesihatan, keselamatan dan infrastruktur
  5. Kerajaan BN sebelum ini membenarkan pelepasan cukai bersyarat di mana pengeluar perlu melabur atau menawarkan kenderaan cekap tenaga sebelum insentif cukai diberikan
  6. Walau bagaimanapun, hasil kerajaan dijangka bertambah apabila pengeluar asing menambah pelaburan untuk program CKD namun ia masih terlalu awal untuk dikatakan
  7. Kenderaan berada dalam kategori kehendak dan bukan keperluan. Cukai jualan biasanya dikenakan kepada barang kehendak berbanding keperluan seperti makanan dan pendidikan
  8. Tidak holistik – jumlah industri kenderaan tahun ini dijangka berjumlah 600,000 ribu. Ini bermakna setiap tahun ratusan ribu kenderaan baharu memasuki pasaran dengan infrastruktur sedia ada
  9. Tanpa polisi jangka hayat kenderaan, mampukah infrastruktur seperti jalan raya, lebuh raya, parkir dan sebagainya mampu menampung sejumlah kenderaan baharu ini? 
  10. Adakah pelepasan cukai ini dibuat setelah kajian dan input pelbagai pihak diambil kira dalam pembuatan keputusan? Keputusan yang dinilai secara mendalam dilihat lebih memberi keuntungan kepada negara dalam jangka masa panjang

Masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan mutlak di dalam isu kerana ia benar-benar tidak dijangka malah kerajaan tidak pernah menyebut untuk memberi pengecualian SST kepada kenderaan.

Kami mengambil positif melalui pengumuman ini dan akan menunggu penjelasan seterusnya daripada pihak kerajaan.

Senarai pengecualian untuk kereta dan motosikal boleh dibaca melalui pautan ini. Bermula dari mukasurat 269.

KEMASKINI: Pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah mengeluarkan kenyataan penjelasan untuk isu ini. Cukai SST bakal dikenakan kepada pengguna. Sila klik pautan ini.

Share this post

scroll to top