Buletin

KIA OPTIMA GT DILANCARKAN – 2.0 TURBO 242HP, 350NM RM179,888

Naza Kia Malaysia, pemegang hak jenama Kia di Malaysia hari ini melancarkan generasi keempat Kia Optima GT ke pasaran tempatan. Acara pelancaran disempurnakan di Menara Naza, Platinum Park Kuala Lumpur petang tadi.

Hanya varian GT sahaja yang diperkenalkan di Malaysia dan ia merupakan model pilihan tertinggi dalam rangkaian kereta penumpang segmen dari pembuat dari Korea tersebut.

BACA: KIA OPTIMA K5 YANG MENGGODA

“Varian GT ini menawarkan spesifikasi terbaik bagi kenderaan dalam kelasnya. Ia dipasangkan dengan lampu LED yang akan menyala bila membelok. Pelanggan juga akan menghargai ciri-ciri premium seperti keluasan dalaman, bumbung panoramik, smart trunk, pengecas telefon pintar tanpa wayar, lampu hadapan dan pengelal cermin automatik, seleksi mod pemanduan, seleksi kawalan cermin tingkap, kerusi elektrik dengan fungsi memori antara lain,” Ujar Dato’ Samson Anand George, Ketua Divisyen Automotif Kumpulan Naza.

Optima GT ini lebih besar dari model sebelumnya. Secara keseluruhannya, ia 10mm lebih panjang, 30mm lebih lebar, 10mm lebih tinggi, dan penambahan 10mm pada jarak roda. Saiz ini menghasilkan ruang dalaman lebih besar.

Ruang kepala kini 10mm lebih tinggi, ruang kaki 25mm lebih lebar dan ruang bahu antara kerusi hadapan dan belakang masing-masing 17mm dan 20mm lebih luas.

Kemewahan boleh dilihat pada kemasan kabin. Panel pintu misalnya, ia dibalut dengan kulit lembut. Kerusi pemandu dilengkapi dengan Intelligent Memory Seat – IMS. Ia membolehkan pelarasan 12 posisi dibuat sementara untuk penumpang pada 10 posisi. Konsol tengah dihiasi skrin LCD 7 inci dengan sistem audio dan multimedia seperti MP3, MP4, Bluetooth, sambungan Ipod dan mirrorlink.

Kalau anda sudah biasa dengan ciri D-Jepun seperti Accord, Camry, Teana dan Mazda 6, Kia Optima ternyata mahu menang dari segi janaan kuasa.

Model ini dilengkapi enjin generasi kedua Theta (Theta II) berkapasiti 2.0 liter dengan sistem pendesak turbo. Ia menghasilkan sejumlah 242 kuasa kuda pada 6,000 rpm dan 350Nm tork seawal 1,400 rpm. Enijn ini kemudiannya dipadankan dengan kotak gear automotik enam kelajuan dan jika kuasa sahaja soalnya sudah tentu orang Malaysia akan tanya – “Jimat minyak tak?”

Enjin ini mencatat penggunaan 8.5 liter bahanapi bagi setiap 100 kilometer. Angka yang agak bagus untuk sebuah enjin dengan induksi pendesak dan kuasa kuda.

Dari segi keselamatan, Optima GT dilengkapi dengan enam beg udara, sistem ABS pada empat roda, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan HIll-starr Asist (HSA) Emergency Stop Signal (ESS). Model ini juga mendapat skor 5 bintang dalam ujian pelanggaran Asian NCAP, 5.1 bintang dalam ujian US NCAP dan melepasi gred pertama bagi ujian NCAP di Korea.

Ia akan mula berada di pusat pengedar Kia seluruh negara mulai esok pada harga RM 179,888

GALERI

Google ads
Back to top button