KIA ProCeed Shooting Brake – MASIH INGAT KIA RIO GEN PERTAMA?

SHARE

Jika ditanya tentang citarasa pengguna tentang wagon jawapannya adalah bercampur-campur. Ada yang gemarkannya tetapi tidak minat untuk membeli atau ada yang tidak perasan pun kenderaan mereka sebenarnya adalah wagon.

Hal ini terjadi kerana segmen kenderaan di negara kita bercampur-campur. Ada yang kata MPV kecil, ada yang kata wagon hakikatnya senario tersebut terjadi kerana jumlah kerusi dan saiz.

Lihat senarai kereta-kereta ini, Honda Stream, Honda Odyssey, Toyota Wish, Perodua Alza, Mazda 6 Grand Touring, Peugeot 508 SW, Volvo V90.

Yang mana satu wagon dan mana satu MPV?

Jawapannya ialah tidak benar jika ada pendapat yang mengatakan pengguna di Malaysia tidak gemarkan kereta wagon.

Dalam banyak-banyak kenderaan Jepun dan Eropah tersebut di mana pula kedudukan kereta buatan Korea?

Sekali lagi perkara ini terlipat dalam sejarah. Pada awal milenium dahulu kenderaan wagon Kia begitu popular di negara kita. Bentuknya ala peluru memang lari daripada kebiasaan dan ia benar-benar menonjol pada waktu itu.

Kia yang dimaksudkan ialah Rio generasi pertama dan ia masih lagi berada di atas jalan raya sehingga kini.

Selepas itu tiada lagi wagon dari Kia yang dipasarkan ke sini sementalah Rio telah berubah ke segmen hatchback termasuk generasi baharu sekarang.

Di peringkat global Kia masih lagi giat membangunkan dan memasarkan wagon seperti Optima Sportwagon dan Ceed Sportwagon dengan reka bentuk yang tidak kalah dengan pesaing lain.

Bagi terus merancakkan lagi persaingan dan mengukuhkan kedudukan dalam segmen ini, Kia pada 13 September mendedahkan satu lagi model mengancam iaitu ProCeed.

Jika Optima SW dan Ceed SW lebih kepada wagon, model baharu ProCeed pula menggunakan gayaan shooting brake ala jenama mewah seperti Mercedes-Benz.

Berbanding Rio generasi pertama yang banyak memasuki pasaran global, ProCeed baharu ini dibangunkan untuk jalanan Eropah, kepada pemandu Eropah dan turut dikilangkan di benua tersebut menggunakan standard pengeluaran tinggi.

Secara spesifiknya, ProCeed baharu direka dengan kerja-kerja pembangunan dan P&P di Frankfurt, Jerman. Model ini akan dikeluarkan di kilang baharu Kia yang terletak di Žilina, Slovakia.

Individu ternama yang menyelia serta mengawasi projek ini ialah Ketua Pereka Eropah KIA, Gregory Guillaume dan Presiden Reka Bentuk dan Ketua Pegawai Reka Bentuk, Peter Schreyer

ProCeed sebenarnya bukanlah nama asing dalam barisan produk Kia. Ia adalah famili model cee’d dan mempunyai dua lagi model baharu iaitu Ceed dan Ceed Sportswagon yang diperkenalkan awal tahun ini.

ProCeed diposisikan sebagai varian sporti dan ia hanya akan dikeluarkan dalam varian eksklusif iaitu GT atau GT Line.

Memandangkan ProCeed berada dalam segmen sporti, model ini 5 mm lebih rendah berbanding model Ceed dan Sportswagon.

Satu fakta menarik tentang shooting brake ini ialah pemanduan dan pengendaliannya diselia oleh Presiden Ujian Kenderaan & Pembangunan Berprestasi Tinggi Hyundai-Kia iaitu Albert Biermann, individu sama yang membuat projek Hyundai i30N dan merupakan bekas ketua di BMW M.

Satu lagi tanda kereta ini bukan ditala oleh calang orang ialah seleksi tayarnya iaitu Michelin Pilot Sport 4.

Berkenaan dengan enjin pula, KIA menawarkan tiga pilihan enjin iaitu 1.0 liter T-GDI (120 PS dan 172 Nm), 1.4 liter Kappa T-GDI (140 PS dan 242 Nm) yang boleh dipadankan bersama transmisi enam kelajuan manual. Versi 1.4 ditawarkan dengan transmisi tujuh kelajuan klac berkembar.

Selain enjin petrol, pembeli turut ditawarkan dengan pilihan enjin baharu Smartstream 1.6 liter CRDi diesel. Kia mendakwa ini adalah enjin diesel paling bersih pernah mereka hasilkan.

Enjin ini berkuasa 136 PS dengan tork 280 Nm untuk padanan transmisi manual. Satu perkara menarik ialah tujahan untuk padanan transmisi tujuh kelajuan klac berkembar ialah 320 Nm menjadikannya begitu gagah.

Satu lagi pilihan berkuasa ialah varian ProCeed GT yang dibekalkan dengan enjin 1.6 liter T-GDI sama seperti model Ceed GT. Kuasa enjin ini ialah 204 PS dengan 265 Nm dan ia adalah varian paling berkuasa ProCeed.

Angka ini mungkin biasa-biasa sahaja buat penggemar enjin berprestasi tetapi apa yang penting ialah bagaimana KIA kekal konsisten dalam menambat hati pengguna melalui reka bentuk. Itu yang penting iaitu konsisten.

Kia ProCeed akan dipertontonkan di hadapan orang ramai pada Pameran Kenderaan Paris 2018 dan akan mula dijual untuk pasaran Eropah bermula awal tahun hadapan.

BACA: SETELAH SETAHUN DI PASARAN, ADAKAH SAMBUTAN KIA STINGER SEPERTI YANG DIHARAPKAN?

BACA: KIA OPTIMA 2019 – INILAH SAINGAN HONDA ACCORD DAN TOYOTA CAMRY

Share this post

scroll to top