Buletin

KLIMS 2018: PERODUA X-CONCEPT – NAMA PUN MODEL KONSEP, SUICIDE DOORS MESTI KENA ADA

Semalam, saya sempat membuat video secara langsung model konsep Perodua X-Concept melalui Facebook. Sambutan yang diterima sangat memberangsangkan, walaupun ada yang tanya kenapa rakam guna Nokia 3310. Ceh…

Selain Myvi GT (kena akui yang kereta tu memang cantik), model konsep itu nyata mendapat perhatian ramai.

Sebagai sebuah kereta konsep, kena faham bahawa kebanyakan ciri/rekaan itu tidak akan sampai ke saluran pengeluaran di kilang pun. Contoh paling jelas, suicide doors tu. Gila ke hape nak buat pintu macam tu kat kereta produksi yang jual berbelas ribu unit sebulan.

Apa pun, X-Concept tampil kemas dan meyakinkan. Dibina berpaksikan kepada falsafah kenderaan berteknologi tinggi pada masa depan, ia menjadi petunjuk kepada keupayaan dan imaginasi pasukan reka bentuk Perodua yang dilihat semakin matang.

Mengambil bentuk dinamik sebuah hatchback, ciri-ciri menarik Perodua X-Concept termasuklah gril hadapan dan logo Perodua yang diterangi LED.

Penampilan jentera itu diserlahkan lagi dengan lampu hadapan LED berbentuk Y, lampu isyarat membelok berurutan dan pintu jenis suicide door yang menunjukkan rekaan tanpa tiang B apabila dibuka.

Di ruang dalaman, X-Concept mempunyai susun atur papan pemuka futuristik yang mengelilingi panel instrumen TFT, skrin sentuh tengah 12.9 inci dan stereng flat-bottom.

“Seiring dengan tema Beyond Mobility KLIMS18, Perodua X-Concept bukan sekadar kenderaan. Ia merupakan manifestasi visi masa hadapan Perodua, di mana kenderaan menjadi kenyataan gaya hidup dan padat dengan teknologi tersambung (connected technology).

“Kami juga memberi peluang kepada para pengunjung untuk ‘memandu’ dan mengalami sendiri X-Concept, melalui dunia realiti maya (VR),” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rasyid.

GALERI

Google ads
Back to top button