KLIMS’13: PERODUA BUDDYZ
Hari ini adalah hari terakhir acara Kuala Lumpur International Motor Show 2013 (KLIMS’13) yang berlangsung di PWTC.
Biarpun skala penganjuran KLIMS tidak pernah besar atau sampai ke tahap yang boleh dibanggakan, pameran kali ini bagaimanapun dilihat masih dapat ‘diselamatkan’ menerusi beberapa pelancaran model baharu dan pengenalan kereta konsep.
Antara kereta konsep yang mendapat perhatian ramai pastinya hasil rekaan pembuat kereta tempatan, Perodua. Selepas mengujakan orang ramai menerusi model konsep Bezza pada KLIMS edisi terdahulu, Perodua kini tampil pula dengan model konsep Buddyz.
Menurut Perodua, Buddyz disasarkan untuk generasi muda iaitu Y dan Z. Maka tidak hairanlah jika model ini cukup terhubung dari segi teknologi digitalnya. Malah, nama Buddyz itu sendiri bermaksud Buddy for Generations Y and Z.
Pastinya, pembangunan model konsep ini mendapat kerjasama daripada rakan teknologi dan teknikal Perodua, Daihatsu Motor Company Jepun.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rasyid Salleh memberitahu, model Global Model Sedan (GMS) Buddyz ini merupakan hasil kaji selidik terhadap keperluan dan kehendak pengguna tempatan yang mahu Perodua membangunkan sebuah model sedan.
Jika berjaya direalisasikan, Buddyz akan diposisikan di antara model Myvi dan Alza. Buat masa sekarang, Perodua menegaskan bahawa Buddyz tidak dibina di atas mana-mana platform kenderaannya yang sedia ada.