BuletinMotosikal

KTM BERMINAT UNTUK AMBIL ALIH DUCATI

Ducati memiliki sejarah yang panjang sejak ditubuhkan pada 1926. Ia bermula bukanlah sebuah syarikat yang sukses sepertimana yang kita lihat pada hari ini. Pada dekad 90-an, pembuat motosikal Itali ini bergelut dengan masalah jualan, pengeluaran, pengurusan dan juga modal.

Namun pada 2012, Kumpulan Volkswagen telah menjadi penyelamat dengan membeli syarikat ini dengan harga 740 juta Euro dan bermula dari saat itu, ia mengubah cara Ducati dalam perniagaan motosikal.

Pada hujung tahun ini, Kumpulan Volkswagen dikatakan telah mendapat modal dan keuntungan dua kaliganda dari pelaburan awal mereka pada 2012. Jenama ini kini mampu berdiri teguh dan ia mula menarik minat pengeluar lain.

Antaranya ialah Stefan Pierer, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KTM, seorang yang terkenal dengan visi perniagaan luar biasa.

Pierer membeli KTM pada 1992, sama seperti keadaan Ducati yang lemah. KTM ketika itu hampir muflis dengan jualan hanya 6,000 buah motosikal setahun. Ketika itu, mereka hanya ada 150 orang pekerja sahaja dan masa depan KTM berada dalam situasi perjudian. Tiada yang berani membeli syarikat ini kecuali Pierer.

Beliau berjaya menyusun semula KTM, mengagihkan pasaran dan produk dan mencari pasaran penting seperti India. Hari ini, KTM sudah memiliki sekitar 5,000 pekerja dengan jualan tahunannya sekitar 265,000 setahun.

Bukan sahaja KTM, Pierer juga membeli Husqvarna pada 2012 yang ketika itu hanya menghasilkan 6,000 motosikal setahun. Dalam tempoh hanya lima tahun berikutnya, Husqvarna sudah mampu menjual 30,000 unit setahun.

Kini, Pierer mengintai peluang untuk memiliki Ducati. Beliau sedar, Kumpulan Volkswagen hanya melihat Ducati dari sudut perniagaan semata-mata. Fokus kumpulan perniagaan tersebut adalah sektor kenderaan empat roda dan teknologi elektrik dan beliau percaya, Ducati akan lebih sukses jika dimiliki oleh kumpulan yang berkepakaran dalam industri motosikal.

“Ducati ialah jenama ikonik. Ia sebuah Ducati, tidak ada yang sama sepertinya. Satu-satunya jenama yang sesuai buat kami ialah Ducati, tidak yang lain. MV Agusta terlalu kecil. Ducati ibarat Ferrari dalam dunia motosikal dan jika KTM memilikinya, ia adalah sesuatu yang menarik,” ujar beliau.

Beliau juga tidak bimbang soal “perang harga” di kalangan mereka yang berminat untuk memiliki syarikat ini. Difahamkan, Kumpulan Benetton juga berminat dengan Ducati dan Pierer bersedia untuk menawarkan kerjasama terbaik kepada Kumpulan Volkswagen sekiranya mereka bersedia “melepaskan” Ducati.

“Ia bukan tentang harga semata-mata. Ia tentang survival dan bagaimana KTM dan Ducati boleh menjalinkan usahasama menjadi lebih kuat”

“Industri motosikal adalah sesuatu yang unik dan sukar dijangka. Ia perlu terus ke depan, mencari pasaran baru terutamanya di benua di Asia serta kesediaan untuk menghadapi regulasi yang lebih kompleks.

Regulasi Euro5 akan diimplementasi pada 2024 dan kami telah bersedia untuk itu. Jika Ducati ingin menjadi lebih kompetitif, kami rasa, KTM adalah pilihan yang mereka cari,” tambah beliau lagi.

Google ads
Back to top button