BuletinMotosikal

KYMCO CV2/CV3 CONCEPT – SKUTER 2 & 3 RODA KYMCO UNTUK MASA DEPAN

Tidak dinafikan laporan dunia automotif selalu dihidangkan dengan berita-berita pengeluar dari Eropah, Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan atau sekarang ini China. Namun masih ada pengeluar lain yang tidak kurang hebatnya.

Taiwan misalnya telah lama menjadi jaguh dalam pengeluaran skuter seperti KYMCO yang membekalkan enjin kepada BMW dan bekerjasama dalam pengeluaran skuter Kawasaki J300. KYMCO diasaskan pada tahun 1963 dan mula menghasilkan skuter sendiri pada tahun 1970.

Pengalaman dan produk skuter yang trampil kini turut dimanfaatkan oleh Modenas melalui beberapa model KYMCO yang dijenamakan semula seperti Karisma 125 dan Elegan 250.

Pada Pameran Motosikal Milan (EICMA) yang lalu, KYMCO telah mempertontonkan dua skuter maxi C Series Concept yang berada dalam segmen Adventure Tourer.

C Series Concept terdiri daripada dua skuter iaitu Concept CV2 dan Concept CV3. V2 adalah skuter maxi dua roda manakala V3 pula skuter maxi tiga roda.

Skuter jelajah/kembara

C Series Concept ini dibuat untuk jelajah atau kembara. Skuter ini tampil dengan struktur badan yang mantap, reka bentuk ergonomik yang baik dan keupayaan untuk menunggang melalui permukaan jalan kasar.

KYMCO tidak mendedahkan enjin yang digunakan kecuali transmisi CVT modular memberikan keseimbangan berat yang baik. Bahagian belakang C Series mempunyai reka bentuk terbuka untuk pemasangan aksesori atau kotak pelbagai guna.

Bahagian depan menggunakan suspensi USD (terbalik) manakala suspensi belakang pula boleh dilaras secara manual. Ciri-ciri ini adalah untuk memastikan kestabilan dan pengendalian yang baik semasa tunggangan jarak jauh.

Untuk meningkatkan keselamatan, Siri C dilengkapi dengan tayar pengembaraan yang menawarkan lebih cengkaman serta brek cakera depan dan belakang dengan angkup Brembo yang memberikan keupayaan membrek cemerlang dan konsisten.

Ciri-ciri lain pada motosikal konsep ini ialah kerusi dengan bentuk ergonomik dan perehat belakang boleh laras secara manual. Papan pemuka dan penghadang angin depan juga boleh dilaras untuk memastikan tunggangan berkualiti.  

CV3 – Skuter tiga roda pertama KYMCO

CV3 adalah skuter tiga roda pertama dari KYMCO. Ciri unik dua roda di hadapan membolehkan CV3 tampil stabil dalam pelbagai keadaan. Bukan sahaja stabil, asalkan motosikal tiga roda sahaja pasti akan menarik perhatian orang ramai.

CV3 juga dilengkapi dengan kunci elektronik suspensi depan. Melalui sentuhan satu butang, CV3 boleh berdiri tegak apabila berhenti di lampu isyarat atau membungkus air kelapa shake pada waktu panas atau pisang goreng dalam perjalanan pulang ke rumah.

CV3 dilihat sesuai untuk mereka yang menunggang dalam trafik di bandar sambil menikmati kebebasan dan keselesaan memandu ibarat sebuah kereta.  

Jadi ke tidak atau konsep sahaja?

Menurut KYMCO, skuter konsep ini menunjukkan usaha berterusan mereka untuk pergi pergi lebih jauh dalam memenangi hati pengguna di seluruh dunia. Paling menarik ialah ayat ini “Teknologi dan reka bentuk terbaru dari CV2 dan CV3 KYMCO pasti akan direalisasikan dalam masa terdekat…”

Kira jadi la kan? Rasanya boleh pergi jauh dua skuter KYMCO ini sebab gayaan dan reka bentuknya memang unik dan menarik. Dah macam skuter Eropah. Sekejap, skuter KYMCO memang dah macam buatan Eropah pun.

Google ads
Back to top button