Artikel PilihanBuletin

LAGI BUTIRAN TERPERINCI “PROTON EXORA” AKAN DATANG. ENJIN HIBRID & PHEV!

Model ini  adalah satu daripada tiga varian yang akan dilesenkan kepada Proton untuk pemanduan sebelah kanan. Ia dikatakan akan menjadi model gantian Proton Exora pada masa hadapan.

Sebagai MPV 7 tempat duduk pertama Geely, Jiaji mempunyai saiz 4,706 mm X 1,909 mm X 1,664 mm dan jarak roda 2,805 mm. Saiz ini menghampiri konfigurasi sebuah Toyota Estima, ia jauh lebih besar dan lebar dari Proton Exora sekarang.

Geely Jia Ji MPV direka di studio reka bentuk Geely Shanghai, salah satu daripada lima studio reka bentuk global yang terdiri daripada 600 orang kakitangan di seluruh dunia.

Jia Ji MPV Geely diilhamkan berdasarkan kepada falsafah reka bentuk “melalui ruang dan masa”, selari dengan produk terbaru Geely iaitu Bo Rui GE dan Bin Rui. Model baru ini mengikut reka bentuk kenderaan keluarga yang bergaya dan dinamik Geely Auto termasuklah lampu kepala meteor, gril kosmos yang lebar, gril radiator lebih rendah dan gayaan reka bentuk coupe.

Bahagian dalaman juga telah direka dengan pelbagai teknologi bersepadu. Ia memberi tumpuan khusus kepada pemandu menerusi papan pemuka penuh, panel kawalan berpusat yang mewah dan konsol kawalan bumbung.

Di tengah-tengah papan pemuka ialah panel infotainmen dengan skrin 12.3 inci bersama butang kekunci di bawah yang memberikan rasa segar dan mewah.

Konsol kawalan bumbung dilengkapi lampu siling yang bukan hanya meningkatkan keselamatan dengan memudahkan mencari suis dalam gelap.

Jia Ji juga dilengkapi panel kawalan pusat dek bertingkat dengan ruang simpanan tambahan di bawahnya. Di samping tuas gear elektrik, panel kawalan pusat juga terdapat cup holder pintar yang boleh digunakan untuk memanas atau menyejukkan minuman.

MPV baru akan menggunakan 3 pilihan konfigurasi tempat duduk. Ia terdiri dari susunan 2+2+2, 2+ 2+3, atau 2+3+2. Ia bertujuan untuk mobiliti keluarga, bertemu dengan rakan, perjalanan perniagaan atau sebarang keperluan pengangkutan kenderaan yang lain, MPV Geely ni memang dibuat untuk memenuhi keperluan semua.

Sejajar dengan “Inisiatif Geely Blue”, di mana Geely komited untuk menghasilkan 90 peratus jualannya kepada kenderaan tenaga baru, termasuk hybrid dan kenderaan elektrik pada tahun 2020, Geely MPV juga akan memanfaatkan sepenuhnya teknologi tenaga baharu tersebut.

Jia Ji akan datang dalam versi hibrid ringan 48V (MHEV), plugin hibrid (PHEV) dengan enjin 1.5TD yang dipadankan dengan transmisi 7DCT atau versi enjin petrol biasa 1.8TD yang menggunakan transmisi automatik 6-kelajuan.

MHEV – Mild hibrid

Versi MHEV dilengkapi enjin 1.5TD dan motor 48V BSG hibrid yang mempunyai kuasa maksima 188hp dan tork 300Nm. Catatan penggunaan bahan api ialah 5.9L / 100km bagi pemanduan bandar dan lebuh raya

PHEV – Plug In Hibrid

Versi PHEV dilengkapi kombinasi enjin hibrid 1.5TD bersama transmisi 7DCTH dan bateri lithium berkapasiti ultra-tinggi 11.3kW.h. Ia mampu menghasilkan kuasa 125hp dan tork maksimum 385Nm.

Gabungan penggunaan bahan api bandar dan lebuh raya hanya 1.6L / 100km.

ENJIN PETROL

Versi petrol dilengkapi enjin 1.8TD yang dipacu oleh transmisi 6AT. Ia menghasilkan kuasa maksimum 181hp dan tork 300Nm.

MPV Jia Ji dijangka dilancarkan pada awal tahun 2019. MPV ini akan menggunakan teknologi turbo Geely dan teknologi berkuasa untuk mempromosikan mobiliti yang lebih hijau di China.

GEELY DAN MASA HADAPAN PROTON

Kita dapat melihat betapa Geely cukup pantas mengadaptasikan teknologi semasa. Dengan perkembangan teknologi elektrifikasi yang menggila di China, Geely sebenarnya tiada pilihan lain selain wajib mengikut rentak, atau akan kecundang dan ketinggalan.

Membangunkan teknologi PHEV juga lebih mudah dengan menggunakan pelantar model baru sepenuhnya pada Jia Ji. Jika teknologi ini dipindahkan kepada Exora kelak, kami sangat yakin bahawa Proton sudah berada di pentas yang berbeza.

Geely mungkin tidak melihat pasaran Malaysia sebagai sasaran utamanya untuk Exora (RHD) semata-mata.

Mereka sudah tentu mengintai peluang di Indonesia dengan kepesatan pasaran MPV. Begitu juga dengan Thailand dan negara-negara serantau seperti Singapura yang semakin hari semakin kritikal terhadap jumlah pelepasan karbon kenderaan.

Seperti yang pernah kami beritahu, Proton Exora akan datang, tidak akan lagi sebaris dengan saingan yang mereka hadapi hari ini.

Padang permainan untuk Proton sudah berubah dan itulah yang sepatutnya dilakukan sejak dahulu. Meneroka pasaran luar, mengembangkan pasaran sedia ada dan menggunakan kekuatan jenama Proton dengan usaha lebih pantas menerusi teknologi yang ditawarkan Geely.

Sila teliti foto di bawah dan anda pasti bersetuju, ini bukanlah kisah Exora semata-mata. Reka bentuk dalaman, kekemasan buatan malah perincian kecil seperti pengawal digital untuk aircond belakang?

Bagi kami, ini keterlaluan dah…

GALERI

 

Google ads
Back to top button