Buletin

LAMBORGHINI HURACÁN PERFOMANTE CATAT 8 REKOD KELAJUAN DI LITAR BERBEZA

Perlumbaan kereta terpantas di dunia rasanya memang tidak akan habis. Bukan setakat kereta, bangunan tertinggi pun sama. Selepas siap satu, ada lagi yang lebih tinggi. Jadi tidak hairanlah apabila Kuala Lumpur bakal menempa sejarah dengan memiliki tiga di antara bangunan tertinggi dunia.

Menara berkembar Petronas tetap hebat sebab ia jatuh dalam kategori berkembar dan dalam dunia ini tidak banyak pun menara berkembar yang tinggi sebegitu.

Ini pula kisah kereta terpantas di dunia. Diikutkan banyak pengeluar mendakwa kereta mereka terpantas di litar tertentu terutama sekali di Nürbürgring dan sama seperti bangunan, terdapat kategori di mana ia dicatatkan.

Lamborghini Huracán Performante telah dilancarkan secara rasmi setahun lalu pada Pameran Kenderaan Antarabangsa Geneva dan dari tempoh itu kereta super tersebut berjaya membuktikan kehebatannya apabila menjadi kereta produksi terpantas di lapan litar antarabangsa.

Suatu perkara menarik ialah catatan masa tersebut bukan dibuat oleh Lamborghini atau pasukan lumba tetapi oleh pelbagai majalah permotoran berbeza yang menguji Huracán Performante itu sendiri.
 
Di bawah ialah rekod yang dicatatkan oleh Lamborghini Huracán Performante di lapan litar berbeza:
 
  • 03/07/2017          Vairano (Majalah Quattroruote) –  1’09”.43
  • 03/08/2017          Balocco (Majalah Auto) –  2’38”.07
  • 29/08/2017          Contidrom (Majalah Auto Zeitung) –  1’29”.6
  • 25/09/2017          Mira (Majalah Autocar) –  1’05”,03
  • 28/09/2017          Wroughton (Majalah The Grand Tour) –  1’16”.8
  • 09/10/2017          Boxberg (Majalah Auto Motor und Sport) –  42”.3
  • 06/11/2017          Le Mans Bugatti (Majalah Sport Auto) –  1’42”.49
  • 14/11/2017          Anneau du Rhin (Majalah Sport Auto) – 57”.5

Maknanya apa? Maknanya Lamborghini Huracán Performante ini memang padu dan mengesahkan model tersebut sebagai di antara kereta produksi terpantas di dunia. 

Menurut Lamborghini, prestasi kereta super ini diantaranya disumbangkan oleh sistem ALA atau Lamborghini Active Aerodynamics yang telah memenangi Anugerah Inovasi Autocar tahun lalu.

Sistem ini terdiri daripada beberapa item seperti material ultra ringan iaitu Forged Composite, talaan casis khas, sistem pacuan kesemua roda dan penambah baikan pada nadi kuasa.

Sistem ini membolehkan Performante memberikan kuasa yang tinggi dan hasil terbaik di litar dan pada masa yang sama masih sesuai dan seronok untuk dipandu di jalan raya.

Performante dikuasakan oleh enjin N/A 5.2 liter V10 dengan tork 600 Nm pada 6,500 rpm dan 640 hp pada 8,000 rpm. ‘Lembu’ ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 2.9 saat sahaja dengan kelajuan maksimum lebih dari 325 km/j.

Lamborghini memang padu tetapi sekarang ini siapa nak pecahkan rekod Honda Civic Type R di Nürbürgring?

Google ads
Back to top button