LAMBORGHINI URUS, SUPER SUV 1-100 KM/J DALAM MASA 3.6 SAAT!

SHARE

Setelah berpuluh tahun tanpa model pengganti akhirnya Lamborghini melancarkan SUV baharu yang diberi nama Urus. Untuk menjarakkan SUV ini dengan banyak lagi model lain di pasaran, Lamborgini memanggilnya sebagai Super SUV yang mewujudkan satu segmen niche dalam pasaran kereta mewah.

Kenapa Super SUV? Sebab ini adalah gabungan kuasa, dinamika pemanduan, reka bentuk, kemewahan dan kegunaan harian. Senang cerita, laju tapi boleh pandu hari-hari sama ada atas jalan raya atau atas padang pasir.

Enjin turbo pertama – 650 hp, 850 Nm

Kalau cari di belakang, memang tak ada enjin macam Lamborghini lain sebab enjin Urus ada didepan. Bukan setakat enjin berada di depan, ini adalah kali pertama menggunakan enjin berkuasa turbo.

Enjin 4.0L V8 turbo berkembar itu mempunyai output kuasa 650 hp pada 6,000 rpm dan tork maksimum 850 Nm pada 2,250 rpm hingga 4,500 rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan.

Dari angka output enjin sudah boleh tahu prestasi Super SUV ini dan dengan berat kurang dari 2,200 kg, Urus mempunyai nisbah berat kepada kuasa yang terbaik dalam segmen SUV iaitu 3.38 kg/hp.

Dari segi kelajuan pula, Urus berupaya memecut dari 0-100 km / j dalam masa 3.6 saat, 0-200 km / j dalam masa 12.8 saat dengan kelajuan maksimum 305 km / j. 

Sistem pacuan 4WD

Lamborghini bukan membangunkan SUV untuk kaut duit orang kaya sahaja tetapi dengan kemampuan terhad. Sistem 4WD pada Urus dibangunkan untuk kegunaan pelbagai permukaan jalan dan cuaca. 

Tujahan enjin dibahagikan mengikut nisbah 40/60 di antara roda depan dan belakang secara standard dengan had maksimum tujahan sebanyak 70 peratus pada roda depan atau 87 peratus pada roda belakang.

Selain itu, Urus juga mempunyai beberapa mode pemanduan seperti STRADA, TERRA (off-road), NEVE (Salji), SPORT, CORSA dan paling menarik mode SABBIA untuk kegunaan di atas pasir. Maknanya, Urus ini bukan sahaja di buat untuk bermain salji di Eropah tetapi juga padang pasir di negara Timur Tengah atau Arab Saudi.

Boleh muat lima penumpang

Lamborghini tidak ada kereta dengan empat penumpang seperti Ferrari GTC4 Lusso tetapi sekali buat kereta terus boleh digunakan untuk off-road dan boleh memuatkan lima penumpang.

Bukan setakat ada empat pintu dan lima penumpang tetapi kerusi belakang boleh dilaras untuk menambah ruang bagasi dari 616 liter kepada 1,596 liter. Saiz yang begitu besar dan Lamborghini pertama yang boleh dibawa ke IKEA atau pokok di belakang.

Untuk pembeli yang sukakan empat kerusi, pilihan tersebut boleh sahaja ditempah sewaktu pembelian.

Harga – Biasa sahaja tidak mahal melampau

Bila cakap tentang jenama eksotik, siap sedia untuk menelan air liur. di United Kingdom Super SUV ini dipasarkan pada harga GBP 131,500.00 atau RM 717,575.09.

Ini harga asas dan belum masuk cukai. Lamborghini Urus hanya akan diserahkan kepada pembelinya pada tahun depan dan rasanya tiada masalah pun untuk Super SUV ini laku keras.

Jika di Malaysia, harga Lamborghini Urus mungkin melebihi RM 2 juta dan adalah pada aras kereta super Lamborghini lain. Okay lah sebab Urus ini boleh naik lima orang lepas itu tidak seksa kalau nak bawa balik kampung. 

Sekarang kita tunggu syarikat eksotik mana pula hendak keluarkan SUV, Ferrari? Lotus? Pagani?

BACA: LAMBORGHINI AKAN TERUS MENGGUNAKAN ENJIN V12 – SELAMA TERMAMPU

BACA: LAMBORGHINI LM002 – SUPER SUV INI IALAH AYAH KEPADA URUS

Share this post

scroll to top