Artikel PilihanBuletin

LAMPU KABUS (FOG LAMP), NAK ON TAK ON NI? LAMPU DRL MACAM MANA?

Setelah banyak kempen kesedaran tentang fungsi lampu kabus belakang rasanya ramai yang dah sedar ia patut dinyalakan dalam keadaan berkabus atau semasa kadar penglihatan rendah dan bukan pada waktu malam dengan cuaca yang elok.

Jika dinyalakan juga boleh mendatangkan dua sakit, yang pertama sakit mata kepada pemandu belakang dan kedua sakit hati, juga kepada pemandu belakang.

Sebenarnya dalam hal-hal lampu ini ia bukan suka-suka dipasang oleh pengeluar. Lampu kabus depan dan belakang, lampu pencahayaan siang (DRL) adalah sebahagian daripada peraturan UN yang telah kita ratifikasi (bukan ICERD).

Maknanya pengeluar perlu memasang jenis lampu yang telah ditetapkan bagi memperolehi kelulusan kenderaan baharu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan. Peraturan ini telah mula dikuatkuasakan bermula tahun 2017.

Jadi sekarang timbul pula persoalan kenapa lampu kabus belakang tidak boleh suka-suka dinyalakan tetapi lampu kabus depan boleh pula? Lagi menarik lampu pencahayaaan siang (DRL) macam mana?

Secara asasnya lampu depan (headlight) ada had undang-undang iaitu kadar pencahayaan maksimum 4,300K atau mengikut standard pengeluar. Lebih daripada itu boleh kena saman terutama sekali lampu HID yang terang seperti lampu limpah stadium.

Lampu DRL pula tiada masalah untuk dipasang di kedai aksesori sebab ia tidak terang seperti lampu utama. Lagi pun kebanyakan lampu DRL bersaiz kecil dan fungsinya ialah supaya kenderaan jelas dilihat dan bukan untuk menyuluh seperti lampu utama.

Jadinya kata kunci di sini ialah lampu yang untuk dilihat dan bukan untuk menyuluh.

Berbalik kepada soalan awal tadi, boleh tidak lampu kabus depan dinyalakan suka-suka hati?

Jawapannya sama juga seperti lampu kabus belakang. Lampu jenis ini hanya boleh digunakan pada waktu malap atau dalam keadaan cuaca berkabus. Lampu ini juga dinyalakan semasa lampu utama rendah dan bukan sewaktu nyalaan puncak (high beam).

Tetapi timbul pula satu persoalan memandangkan disiplin pemandu atau penunggang motosikal sekarang ini pun boleh tahan. Ada yang makan laluan dan biasa juga keluar simpang ibarat kita ini tidak wujud.

Ada juga yang melanggar lampu isyarat walaupun lampu laluan kita berwarna hijau. Apabila melalui simpang lampu isyarat berwarna hijau perlu waspada.

Pada pendapat kami memandangkan pemasangan lampu DRL di kedai aksesori tidak menjadi kesalahan, eloklah ia dipasang sebab lampu jenis ini seperti yang dikatakan awal tadi bukan untuk menyuluh tetapi sebagai bantuan untuk kereta kita mudah dilihat.

Ia sekadar menyala dan tidak menyuluh apatah lagi sampai silau. Melainkan lampu DRL dipasang secara berlebihan atau sampai keliling bampar itu dah jadi lain.

Apabila terpaksa juga, nyalakanlah lampu kabus di siang hari apabila anda tidak yakin dengan keadaan trafik semasa. Setahu kami silauan lampu kabus depan tidaklah sampai menyakitkan mata.

Tetapi ianya bukan untuk dinyalakan setiap masa terutama sekali pada waktu malam dengan cuaca baik. Itu boleh jadi silau sebab lampu utama buka, lampu kabus pun menyala, apatah lagi ditambah pula dengan nyalaan DRL.

Dah macam nak sambut raya dan menggangu pemandu bertentangan.

Jadi itu adalah pendapat kami, lampu kabus belakang bukan aksesori untuk nampak cantik dan meriah. Ia digunakan dalam cuaca malap berkabus dan kadar penglihatan yang merbahaya seperti hujan lebat.

Sama juga dengan lampu kabus depan, ia untuk membantu lampu depan andai kata pencahayaan tidak cukup jelas.

Satu lagi tabiat klasik ialah menyalakan lampu kecemasan sewaktu kenderaan sedang bergerak. Walaupun dalam keadaan hujan ribut lampu ini tidak patut dinyalakan.

Secara universal apabila lampu kecemasan atau lampu isyarat kiri kanan dinyalakan serentak ia bermakna kenderaan anda sedang berhenti atau mahu berhenti. Bayangkan dalam keadaan hujan lebat kemudian tiba-tiba anda nampak lampu kecemasan menyala?

Mahu terkejut dan biasanya tindakan reflek akan menekan brek. Bayangkan pula lampu kecemasan menyala tetapi laju pula kereta depan ini bergerak. Garu kepala juga nak berhenti atau macam mana?

BACA: LAMPU KERETA MODEN MEMANG CANGGIH TETAPI TAHUKAH ANDA BERAPA KOSNYA?

BACA: KEMENTERIAN PENGANGKUTAN HARAMKAN LAMPU HID – DENDA RM2K ATAU PENJARA ENAM BULAN!

Google ads
Back to top button