Buletin

LEBIH 38,000 MYVI TELAH DISERAHKAN – 70,000 TEMPAHAN DITERIMA SETAKAT 30 APRIL

Perodua Myvi baharu sekali lagi mencatat kejayaan dengan jualan keseluruhan 38,000 unit setakat minggu ketiga April 2018.

“Pencapaian ini amat bermakna bagi kami kerana Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengumumkan bahawa Perodua telah mencapai penguasaan pasaran 41.5 peratus pada Mac lalu,” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Dato’ Dr Zahari Husin.

“Pada perkiraan kami, Myvi telah memperoleh 70,000 tempahan bermula 8 November 2017 hingga 30 April 2018. Kami amat terharu dengan sambutan yang diterima,” kata Zaharilagi.

Menurut angka MAA, bermula Januari sehingga Mac, Perodua menjual 55,568 kenderaan daripada 135,140 unit jumlah keseluruhan industri (TIV). Ia merangkumi lebih 41 peratus penguasaan pasaran untuk suku pertama tahun 2018.

Pencapaian itu merupakan peningkatan lebih daripada 10.5 peratus berbanding 50,260 unit yang didaftarkan pada suku pertama tahun lalu. Sekali gus mencatat rekod suku pertama bagi Perodua dari segi jualan.

Jualan 55,560 unit tersebut terdiri daripada 24,473 Myvi, 14,962 Axia, 10,101 Bezza dan 6,032 Alza. Sebanyak 18 peratus daripada semua kenderaan baharu yang didaftarkan di Malaysia pada suku pertama 2018 ialah model Myvi.

Mengenai penghantaran, Zahari memberitahu Perodua sedang berusaha meningkatkan kecekapan operasinya bagi memastikan penghantaran dapat dibuat dalam masa terdekat.


Buat masa sekarang, tempoh menunggu untuk varian Myvi 1.5L adalah kurang tiga bulan. Bagi varian 1.3L pula, ia boleh diserahkan dengan segera kepada pelanggan.

Myvi generasi ketiga adalah model paling canggih dalam sejarah 25 tahun Perodua. Kereta kompak itu menampilkan inovasi Malaysia seperti pembaca kad tol binaan dalam dan pendingin hawa digital dengan memori.

Myvi juga menerima penarafan 5 bintang ASEAN NCAP berdasarkan protokol terkini. Selain merupakan kereta yang paling mampu milik di Malaysia dengan fungsi keselamatan aktif iaitu sistem Advanced Safety Assist (ASA).

Kempen Perodua Pilihanku kini bermula – sertailah Hari Pelanggan pada hujung minggu ini (5hb-6hb Mei) di semua bilik pameran dan pusat servis Perodua di seluruh negara. Pemeriksaan kenderaan percuma dan penebusan tunai sehingga RM1,800 untuk model dan varian terpilih menanti pengunjung.

Rebut peluang ini untuk melihat dengan lebih dekat varian Bezza terbaharu iaitu Bezza GXtra yang dilancarkan minggu lalu.

Google ads
Back to top button