LOTUS SAH AKAN HASILKAN SUV – CEO LOTUS

SHARE

Ketua Pegawai Eksekutif Lotus, Jean-Marc Gales baru-baru ini mengesahkan bahawa Lotus akan menghasilkan model SUV tidak lama lagi.

Memandangkan hampir semua jenama kenderaan sudah mengeluarkan SUV masing-masing, SUV daripada Lotus sememangnya ditunggu ramai.

Gales telah mengetuai Lotus sejak tiga tahun lalu. Dalam tempoh itu beberapa model edisi terhad diperkenalkan. Pada masa yang sama mengukuhkan kembali kewangan dan keadaan dilihat semakin baik apabila Geely membeli saham syarikat tersebut tahun lalu.

Gales mengakui bahawa campur tangan Geely membuatkan hasrat untuk Lotus mengeluarkan SUV semakin jelas, katanya kepada Autonews.  

“Saya yakin dengan keupayaan Geely. Kami boleh mereka bentuk sebuah crossover Lotus yang memiliki ciri unik, ringan, aerodinamik dan pengendalian terbaik.

“Kami tidak mahu bergantung kepada pasaran kereta sports sahaja, biarpun ia agak stabil di seluruh dunia. Tetapi pasaran SUV mencatat pertumbuhan dua digit, terutama pasaran SUV premium yang perlu diambil perhatian” kata Gales.

Ditanya mengenai di mana SUV Lotus akan dihasilkan, Gales memberi bayangan ia mungkin menggunakan kemudahan Geely di China. Biarpun begitu, pengeluaran kereta sports akan kekal di Britain.

“Lotus ialah jenama UK, jadi kami mesti menghasilkan kereta sports di sana. Untuk SUV, kita lihat ke mana ia hendak dipasarkan nanti. Buat masa sekarang, saya tidak boleh memberi sebarang kata putus,” kata Gales lagi.

Lebih menarik lagi, Gales ada menyatakan pihaknya mungkin akan menghasilkan beberapa SUV Lotus dengan sais berbeza. Kita tunggu sahaja lah..

Share this post

scroll to top