MASA DEPAN PROTON SEMAKIN CERAH – PENGEDAR PROTON
PROTON telah membawa sekumpulan pengedar terbaiknya melawat Geely di China.
Bertujuan berkongsi pengalaman pengedar Geely mengendalikan cawangan mereka di Shanghai, lawatan itu melibatkan seramai 28 pemilik pusat jualan dan perkhidmatan PROTON.
Ia turut disertai oleh pegawai PROTON dan seorang wakil dari institusi kewangan.
Baru-baru ini, PROTON menggesa pengedar dan pengendali pusat perkhidmatan untuk menaik taraf kemudahan mereka sebagai persediaan untuk model baharu Proton yang akan diperkenalkan pada tahun hadapan.
Dalam lawatan itu, mereka diperkenalkan dengan seorang pengedar Geely di Shanghai. Sana, peserta mempelajari dan mengkaji sedikit sebanyak operasi harian mereka.
Pengedar-pengedar dari PROTON nyata kagum dengan kejayaan Geely di China. Ryan Lai, Pengarah LHM One Stop, sebuah cawangan PROTON 4S di Nilai mengakui dia amat tertarik dengan tahap perkhidmatan pelanggan di cawangan Geely.
“Pusat perkhidmatan tersebut mempunyai ruang menunggu yang menyerupai hotel bertaraf 5 bintang! Kebiasaannya, suasana sebegitu hanya dapat dirasai oleh pemilik kereta premium di Eropah. Namun, Geely menawarkannya kepada pelanggan mereka,” kata Ryan.
Para pengedar juga dijemput untuk memandu uji model Geely Boyue yang bakal diperkenalkan di Malaysia tidak lama lagi. “Pada awalnya saya agak ragu-ragu. Tetapi apabila mula duduk di dalam Boyue, saya tahu ini adalah kenderaan yang terbaik untuk imej baharu PROTON,” jelas Ryan.
Pandangan itu dipersetujui oleh Susan Leong dari Hoi Keen Service di Kuantan. Hoi Keen mengendalikan pusat servis dan mengecat PROTON.
“Boyue mempunyai reka bentuk dalaman yang mewah dan terasa sangat premium bagi segmennya,” kata Susan.
Seorang veteran dalam industri, Dato’ Shamshudin dari Pantai Bharu yang mempunyai sebuah pusat PROTON 4S di Jalan Meru menyatakan keyakinannya terhadap PROTON dan Geely.
“Kerjasama dengan Geely dan Boyue pasti akan memberi kesan yang besar di Malaysia,” kata Shamshudin.
Para pengedar dibawa melawat Institut Penyelidikan Geely. Mereka dipertontonkan dengan teknologi semasa dan pelbagai reka bentuk kenderaan masa depan.
Shamshudin, Ryan dan Susan mengumumkan secara terbuka bahawa syarikat mereka akan membuat pelaburan berjuta-juta ringgit bagi memperluaskan cawangan PROTON masing-masing.
“Lawatan ini benar-benar membuka mata kepada apa yang bakal dicapai oleh PROTON pada masa akan datang. Kami akan melabur untuk jenama PROTON kerana kami dapat melihat masa depan PROTON yang lebih cerah,” kata Ryan.