Buletin

MAZDA CX-3 2018 FACELIFT RASMI DILANCARKAN – RM121K, i-ACTIVSENSE & GVC

Bermaz Motor hari ini melancarkan Mazda CX-3 2018 baharu yang telah dipertingkatkan.

Mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2015, crossover gaya hidup Mazda yang memenangi anugerah ini telah ditambah baik; ditala semula dan lebih halus buatannya agar semakin elegan, selain dapat menawarkan prestasi pemanduan yang mantap dan efisien.

CX-3 2018 ditawarkan dalam 6 pilihan warna iaitu merah, putih metalik, kelabu, biru, hitam dan putih mutiara. Harganya pula ialah RM121,134 (OTR tidak termasuk insurans). 

Menurut Bermaz Motor, sejak dibuka pada Jun lalu, pihaknya kini sudah menerima lebih 1,000 tempahan daripada pelanggan. 

Jadi apa penambahbaikan yang diterima oleh CX-3 facelift ini? Saya senaraikan untuk memudahkan pembacaan anda.

1. Perubahan rekaan luaran yang tidak ketara

Melibatkan gril hadapan rekaan baru dengan kemasan krom. Lampu belakang juga  telah direka semua dan dipasang dengan rim baharu.

2. Brek parkir elektronik

Dari segi dalaman pula, Mazda CX-3 menerima papan pemuka yang dinaiktaraf, kemasan berwarna merah pada bilah corong pendingin hawa dan paling ketara ialah penggunaan brek parkir elektronik.

Mengetengahkan rekaan konsol tengah yang baru, perehat tangan dan ruang penyimpanan barang lebih luas. Penambahbaikan lain merangkumi tempat duduk hadapan yang direka semula untuk memberi sokongan dan keselesaan lebih baik. Manakala perehat tangan pada tempat duduk belakang kini dilengkapi ruang meletak botol minuman.  

3. Lebih senyap dan dinamik

Aspek NVH Mazda CX-3 2018 telah ditambah baik menerusi penggunaan panel pintu, kaca luaran dan kedap pintu yang lebih tebal. Ini sekali gus mampu menawarkan kabin yang lebih senyap dan menenangkan.

Dari segi peningkatan dinamik kenderaan pula, sistem suspensi telah ditala semula untuk pemanduan lebih lancar. Manakala stereng kuasa dan chasis dikaliberasi untuk memberikan pengalaman pemanduan Jinba Ittai yang menyeronokkan.

4. Enjin sama – SKYACTIV-G 2.0L

CX-3 2018 dikuasakan oleh enjin SKYACTIV-G 2.0L yang dipadankan dengan transmisi automatik SKYACTIV-DRIVE enam kelajuan bersama ciri penukaran gear secara manual, mode sport dan teknologi G-Vectoring Control (GVC) Mazda.

5. i-ACTIVSENSE Mazda

Antara ciri keselamatan dinamik pada CX-3 facelift ialah i-ACTIVSENSE Mazda yang terdiri daripada Blind Spot Monitoring (BSM) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA).

BSM membantu mengesan dan memberi amaran kepada pemandu tentang kehadiran kenderaan di kawasan titik buta dengan memaparkan ikon pada cermin sisi berkaitan. Sekiranya pemandu pemandu ingin menukar haluan dan terdapat kenderaan dalam titik buta tersebut, ikon itu akan menyala dan amaran bunyi beep dikeluarkan.

RCTA pula berfungsi memberi amaran kepada pemandu apabila ia mengesan ada kenderaan mendekati dari kedua-dua arah ketika hendak mengundur.

Sejak melakukan debut pertamanya, Mazda CX-3 telah memenangi banyak anugerah.

Ini termasuklah 2015 Red Dot Design Awards, IIHS Top Safety Pick+ untuk tahun 2016 dan 2017, Finalis 2016 World Car Design of the Year,  2016 CarSifu Best SUV (Crossover Compact), 2016 ASEAN Crossover Car of the Year, 2017 DSF.my/Allianz Vehicle Design of the Year serta terbaharu, 2018 Cars of Malaysia Top Crossovers.

Google ads
Back to top button