MAZDA CX-9 FINALIS REKABENTUK KERETA TERBAIK DUNIA 2017

SHARE

SUV bersaiz penuh Mazda CX-9 telah dipilih sebagai finalis anugerah Car of the Year (WCOTY) dan World Car Design of the Year (WCDOTY) untuk tahun 2017.

Pengumuman itu jelas membuktikan CX-9 kini berada selangkah lagi untuk mengikut kejayaan yang dirangkul oleh model roadster MX-5 pada tahun lalu.

“Kami sangat berbesar hati kerana CX-9 diiktiraf sebagai calon untuk kedua-dua anugerah penting ini. Tahun lalu sememangnya menjadi momen terindah buat Mazda kerana MX-5 dipilih sebagai pemenang,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif  Mazda North American Operations (MNAO), Masahiro Moro.

BACA: MAZDA CX-9 GUNA ENJIN TURBO!

Mazda CX-9 generasi kedua merupakan kenderaan penumpang terakhir Mazda yang dilengkapi teknologi penuh SKYACTIV. Harus tahu bahawa CX-9 memainkan peranan penting dalam menyerlahkan keupayaan teknologi Mazda menerusi enjin turbo terbaharunya, SKYACTIV-G 2.5T.

Enjin itu dikatakan menawarkan prestasi terbaik dan 25 peratus lebih jimat berbanding enjin V6 yang digunakan sebelum ini. Maka tidak hairanlah jika ia termasuk dalam senarai 10 enjin terbaik oleh pihak Wards Automotive.

Bagi pasaran Amerika Utara, Mazda menggunakan CX-9 untuk melancarkan varian Signature. Varian yang lebih mewah itu dilengkapi tempat duduk dibalut kulit dan kemasan kayu rosewood daripada pengeluar gitar premium, Fujigen.

Bukan itu sahaja, CX-9 juga menjadi model pertama Mazda yang hadir bersama warna baharu dikenali sebagai Machine Gray Metallic.

Berada di pasaran kurang setahun, CX-9 sudah pun mengumpul pelbagai anugerah. Antaranya, Car of the Year daripada majalah pemotoran berpengaruh Australia, Wheels.

BACA: MAZDA CX-9 LANCAR JUN 2017

Di pasaran Malaysia pula, Bermaz Motor dijadual melancarkan SUV tersebut pada Jun tahun ini. Model flagship itu akan melengkapkan lagi tawaran SUV Mazda ke pasaran tempatan yang kini diisi oleh CX-3 dan CX-5.

 

(Visited 149 times, 1 visits today)

Share this post

scroll to top