Buletin

MAZDA KAI CONCEPT – PENGGANTI MAZDA3 INI MEMANG CUN HABIS!

Mazda membuka tirai acara pameran Tokyo Motor 2017 yang sedang berlangsung di Tokyo Big Sight sekarang dengan beberapa model konsep mengagumkan.

Paling menarik perhatian pastinya Kai Concept yang didakwa menjadi bayangan sebagai model Mazda3 generasi seterusnya. Ini sekali gus mencetuskan persoalan adakah Mazda sekarang tengah sibuk membangunkan model baharu tersebut.

Seperti selalu, rekaan Mazda tidak pernah mengecewakan. Malah Mazda menjelaskan Kai Concept sebagai ekspresi falsafah reka bentuk KODO yang lebih matang.

Tampil dalam bentuk sebuah hatchback lima pintu, lampu hadapan dan belakang kini lebih nipis serta agresif. Sementara garis-garis badan yang tajam sebelum ini digantikan dengan garisan lebih lancar.

Bumbungnya terdiri daripada dua keping panel kaca. Gayaan diserlahkan lagi menerusi ekzos berkembar dan spoiler nipis pada bahagian belakang.

Hendal pintunya yang begitu kecil dan seolah-seolah ditanam pada bahagian badan kereta itu memang cantik untuk sebuah model konsep. Untuk merealisasikannya pada model produksi, memang mustahil. Sama juga dengan cermin sisi itu, kalau pasang memang tak nampak apa lah.

Rang kabin menyerlahkan evolusi rekaan yang ada pada Mazda3 sekarang. Stereng tiga jejari itu lebih nipis dan kluster meter tidak banyak berbeza. Perubahan besar ialah sistem infotaimen yang kini disepadukan pada papan pemuka, menggantikan jenis tablet yang digunakan sekarang. 

Kai Concept dijangka menggunakan enjin terbaharu Mazda, Skyactiv-X. Enjin petrol dengan sistem pengecas lampau (supercharger) itu dikatakan jauh lebih berkuasa, tork tinggi dan ekonomikal seperti sebuah enjin diesel moden.

Setakat ini, masih belum jelas bilakah Mazda mahu memperkenalkan Mazda3 serba baharu. Ada yang kata tahun 2019, macam lambat je lagi…

GALERI

Google ads
Back to top button