Buletin

MAZDA LANCAR MAZDA3 SKYACTIV GVC

Bermaz Motor hari ini melancarkan varian baru ke dalam rangkaian model Mazda3. Kali ini, jentera itu dilengkapi ciri yang dikenali sebagai G-Vectoring Control (GVC) untuk menawarkan kualiti pengendalian lebih mantap.

Secara ringkasnya, GVC ialah sebahagian daripada SKYACTIV-VEHICLE DYNAMICS Mazda. Selain fokus terhadap dinamik mekanikal kenderaan, pembangunan teknologi ini juga fokus kepada manusia. Maksudnya, pasukan jurutera Mazda akan mengkaji karekteristik pemanduan dan tingkah laku manusia sewaktu berada di dalam kenderaan. Hasilnya, kereta berasa lebih mudah dikendalikan, stereng lebih tepat dan pemandu kurang penat.

Apabila membelok, sistem ini berfungsi dengan mengubah suai penghantaran kuasa dan mengalihkan berat kenderaan. Dalam erti kata lain, GVC mengawal G-force kenderaan dengan mengurangkan tork enjin berdasarkan kepada stereng dan input pecutan daripada pemandu.

Mazda3 GVC hadir dalam tiga varian iaitu Sedan GL, Hatchback dan Sedan High. Ia boleh anda miliki pada harga RM113,998 untuk varian sedan, RM129,412 (Sedan High) dan Hatchback berharga RM132,494 seunit.

Perubahan pada model baharu ini tidaklah ketara. Jika diteliti, bahagian gril hadapan mengalami sedikit ubah suai. Selain gril yang kelihatan lebih garang, ia kini juga dipasang dengan lampu utama LED adaptif dan lampu belakang LED. Penampilannya diserlahkan lagi dengan rim aloi ringan bersaiz 18 inci.

Seperti model sebelumnya, Mazda3 GVC dikuasakan oleh enjin empat silinder DOHC 16 injap bersesaran 2.0 liter. Mampu menghasilkan kuasa sehingga 162hp dan tork 210Nm, enjin itu dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan automatik. Selain GVC, Mazda3 dilengkapi beberapa teknologi lain seperti i-Stop Idling. Ia juga padat dengan sistem keselamatan i-ACTIVESENSE yang merangkumi Lane Departure Warning System (LDWS), Lane-Keep Assist, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert dan Smart City Brake Support.

Pada ruang kabin, naik taraf Mazda3 GVC melibatkan stereng, brek parkir elektrik dan ruang penyimpanan barang pada konsol tengah di antara tempat duduk hadapan. Bukan itu sahaja, ia dilengkapi MZD Connect dengan skrin sentuh bersaiz tujuh inci, Commander Control, kamera undur, Mazda Active Driving Display (Head-up Display), sistem kemasukan tanpa kunci dan banyak lagi.

Empat pilihan warna ditawarkan iaitu putih, biru, kelabu dan perak. Warna signatur Mazda iaitu Red Soul bagaimanapun masih belum dapat ditawarkan buat masa sekarang. Ini kerana kilang INOKOM, Mazda di Kulim Kedah masih belum dapat menampung teknologi canggih cat tersebut.

Dengan semua penambahbaikan ini, Mazda3 GVC sememangnya model yang wajar diberi pertimbangan.

BACA: BERMAZ MOTOR TAWAR PAKEJ MAZDASPORTS UNTUK MAZDA3

GALERI

 

Google ads
Back to top button