Buletin

MAZDA PAMER KERETA COUPÉ 4 PINTU DI TOKYO MOTOR SHOW – PENGGANTI RX-8?

Pameran Kenderaan Tokyo (TMS) ke-45 bakal bermula pada 28 Oktober depan dan menjelang tarikh itu pengeluar kenderaan Jepun sudah mula meningkatkan permainan mereka. Bermula dengan Toyota kemudian Honda dan kini Mazda pula menghebahkan model-model pameran mereka. 

Sesuatu yang menarik tentang Mazda ialah permainan acah-acah mengenai model pengganti RX-8. Walaupun sekarang ini Mazda mempunyai barisan model hebat namun kurang lengkap jika dibandingkan dengan Toyota, Nissan dan Honda. Mazda masih tidak mempunyai model sport bagi menggantikan RX-8.

Atau pada TMS nanti segala-galanya bakal didedahkan?

Apa yang pasti ialah Mazda bakal mempamerkan dua model konsep pada TMS iaitu sebuah model hatchback kompak dan sebuah model ala coupé dengan empat pintu. Berkemungkinan model hatchbak itu adalah bayangan kepada pengganti kepada Mazda3.

Hatchback itu dikatakan membawa arah dan teknologi baharu Mazda. Ia masih menggunakan teknologi binaan SKTACTIV tetapi dengan teknologi enjin baharu yang dikenali sebagai SKYACTIV-X. Enjin petrol generasi baharu itu adalah yang pertama di dunia menggunakan teknologi pencucuhan mampatan (compression ignition).

Selain itu, Mazda bakal mempamerkan sebuah model sport yang menjadi misteri hingga ke hari ini. Kali ini ia tampil dalam bentuk coupé empat pintu.

Adakah ini pengganti RX-8 yang ditunggu-tunggu?

Tidak banyak dikongsi oleh Mazda tentang model ini diberi kecuali ia adalah ekspresi lanjutan kepada gaya bahasa KODO yang mula diperkenalkan melalui Mazda CX-5 pada tahun 2012.

Selain dua model konsep, Mazda bakal mempamerkan CX-8 iaitu SUV besar dengan tiga baris tempat duduk yang dikuasakan oleh enjin SKYACTIV-D 2.2 versi naiktaraf. Model ini bakal dijual di Jepun bermula Disember depan.

Mazda juga bakal mempamerkan model ikonik MX-5 Red Top yang tampil sebagai model istimewa. Model ini dilengkapi balutan kulit auburn nappa dan bumbung berwarna dark cherry red.

BACA: MAZDA SAHKAN MEREKA SEDANG BANGUNKAN ENJIN ROTARY UNTUK KERETA SPORTS AKAN DATANG

BACA: MAZDA PATENKAN ENJIN BAHARU – 2 PENGECAS TURBO, 1 UNIT SUPERCHARGER & PACUAN RODA BELAKANG

Google ads
Back to top button