Buletin

MAZDA SAHKAN MEREKA SEDANG BANGUNKAN ENJIN ROTARY UNTUK KERETA SPORTS AKAN DATANG

Sejak tahun lepas, Mazda sering bermain dengan teka teki mengenai masa depan enjin rotari. Tiada penyataan kukuh yang dikeluarkan syarikat ini namun indikasi paling jelasnya ialah pameran kereta konsep Mazda RX Vision di Pameran Motor Tokyo dua tahun lepas.

Media kemudian cuba mencari maklumat menerusi temuramah dengan beberapa eksekutif Mazda. pada satu ketika, mereka memberitahu sedang mengusahakannya menerusi pasukan kejuruteran yang terdiri dari 100 orang kakitangan khusus untuk projek ini.

Kemudian sepi tanpa berita. Satu kenyataan samar-samar dikeluarkan pada tahun lepas, CEO Mazda, Masamichi Kogai cuma menjawab “tidak” bila ditanya sama ada Mazda mempunyai rancangan untuk menghasilkan kereta sports yang lebih besar. Mereka mahu tumpukan pada pembangunan model lebih kecil – MX-5 Miata.

BACA: TARIKAN MAZDA RX-7 EFINI TURBO

Namun baru-baru ini, dalam satu temuramah bersama Wheels Magazine, Mitsuo Hitomi, Pegawai Eksekutif bahagian Pengurusan Pusat Penyelidikan Teknikal dan Pebangunan Kawalan Sistem Integrasi Mazda memberi harapan bahawa mereka masih meneruskan projek enjin ini.

Dalam temuramah tersebut beliau memberitahu “Kami masih menyambung pembangunan generasi enjin rotari berikutnya, teknologi “range extender” akan digunakan pada produk tersebut. Tapi kami belum putuskan bagaimana enjin ini akan diselarikan dengan program Zoom-Zoom 2030 termasuklah teknologi terbaru enjin tanpa palam pencucuh dan yang terbaru, enjin dwi induksi – pacuan roda belakang.

“Cabaran utamanya ialah menjadikan enjin rotari ini menepati piawaian emisi baru yang sangat ketat. Kami perlu selesaikan isu kakisan apex seal dan juga penjimatan bahanapi dan ini merupakan fokus utama jurutera kami buat masa ini,” beliau menambah.

Sejak memperkenalkan enjin Rotary Wankel pertamanya menerusi model Cosmo, Mazda tetap percaya setiap pembuat perlu ada kekuatan masing-masing untuk dikenali.

Prinsip dan falsafah inilah yang menyebabkan Mazda beberapa kali terpaksa diselamatkan syarikat lain. Mereka terpaksa bergelut dengan falsafah pembuatan dan persaingan pasaran yang semakin kritikal.

Enjin rotary sebelum ini diketahui umum mempunyai banyak kelemahan seperti keluaran bahan bakar yang kurang cekap, penggunaan petrol yang tinggi serta penghasilan tork yang rendah.

Pengeluaran model terakhir RX-8 telah dihentikan sejak dari tahun 2012 ekoran masalah tersebut. Namun dengan kenyataan terbaru ini, harapan melihat enjin rotari untuk terus dikomersialkan nampaknya semakin cerah.

 

 

 
 
 
 
 
Google ads
Back to top button