Buletin

McLAREN 720S INI ISTIMEWA SEBAB ADA KHAT KUFI DAN 1 SAHAJA DI DUNIA

Kalau nak beli kereta McLaren boleh beli macam biasa tetapi kalau nak beli dan tempah khas kena jumpa McLaren Special Operations (MSO) sebab divisyen ini memang kerjanya buat ubahsuai model ikut kehendak pelanggan. Menariknya program ubahsuai dan personalisasi boleh dibuat tanpa had mengikut kemampuan pelanggan.

Dan sebuah McLaren 720S yang direka oleh MSO sedang dipertontonkan di Pameran Motor Antarabangsa Dubai 2017 dari 14 hingga 18 November.

Model ini berwarna Zenith Black dengan kemasan satin, roda aloi berwarna emas, dan komponen interior turut berwarna emas. Pada bahagian dalam pula dilekatkan plaq 1 dari 1 menandakan kereta ini hanya dibuat seunit sahaja di dunia.

Apa yang membuatkan 720S ini istimewa ialah dua perkara iaitu pelindung haba enjin dari emas 24 karat dan tulisan pada sayap belakang menggunakan khat kufi. Terjemahan itu berbunyi “Kehidupan diukur daripada pencapaian dan bukan daripada umur semata-mata.

Tulisan tersebut adalah kata-kata hikmah daripada pengasas McLaren, mendiang Bruce McLaren dengan warna emas dan coraknya digayakan mengikut bangunan pencakar langit Dubai.

McLaren memilih tema pencapaian dan kata hikmah Bruce McLaren bagi mengambarkan pencapaian UAE dan negara teluk sejak empat dekad lalu. Selain itu, UAE dan negara sekitarnya adalah penting buat McLaren bukan setakat dari segi asas pelanggan tetapi juga kerana sokongan dari para pemegang saham syarikat kereta eksotik itu.

Model istimewa ini adalah penghormatan McLaren kepada negara-negara Arab.

Untuk menghasilkan sentuhan istimewa dan proses pengeluaran model istimewa ini, lebih daripada 120 jam diperlukan. Sayap belakang sahaja mengambil masa 30 jam untuk disiapkan menggunakan kaedah stensil (tekapan) dihasilkan oleh pasukan visualisasi rekaan MSO untuk mencapai kesan visual dramatik yang dikehendaki dari huruf emas.

Selain itu, beberapa peralatan dari gentian karbon ditambah seperti splitter depan dan corong udara, bampar belakang dan panel bumbung. 

Peresap belakang juga diperbuat dari gentian karbon manakala pemegang cermin sisi, aero bridge belakang, dek dan penutup enjin kesemuanya daripada komponen gentian karbon MSO.

Bahagian interior juga tidak kurang hebat. Model sebuah dalam dunia ini dilengkapi kemasan hitam Alcantara® dan kulit hitam sebagai tambahan kepada komponen gentian karbon. Warna emas satin pula digunakan pada pedal gear manakala jaluran hitam dipasangkan pada tengah stereng.

Kereta super McLaren ini dikuasakan oleh enjin turbo berkembar 4.0 V8 yang mampu memecut dari 0 – 200 km/j dalam masa hanya 7.8 saat dengan kelajuan maksimum 341 km/j.

McLaren 720S istimewa yang dipertontonkan di Pameran Kereta Antarabangsa Dubai 2017 ini sebenarnya adalah milik seseorang dan McLaren Dubai akan menyerahkan kepada beliau sebaik sahaja acara ini tamat.

BACA: AMARAN! JANGAN TUNJUK KERETA McLAREN INI PADA ANAK ANDA

BACA: PEMBELI MISTERI TEMPAH 2 McLAREN SEKALIGUS, INI BARU ADIL DAN KAYA!

Google ads
Back to top button