Buletin

MENGAPA PENGEDAR MELABUR JUTAAN RINGGIT UNTUK PROTON?

Pengedar-pengedar PROTON dilihat terus melaburkan jutaan ringgit, meskipun jenama tersebut berhadapan dengan sentimen yang mencabar di pasaran.

Dato’ Shamshudin Nor, seorang pengedar kereta yang telah lama mengendalikan Kumpulan Syarikat Pantai Bharu memberikan maklum balas selepas mengikuti lawatan para pengedar PROTON ke Shanghai, China baru-baru ini.

Pantai Bharu merupakan pengedar kereta jenama Perodua, Kia dan Proton.

“Kami sebenarnya telah mula membina bangunan mandiri sebagai bilik pameran kereta. Ia merupakan pelaburan sebanyak RM4 juta. Terus terang saya katakan, kami sebelum ini, belum menentukan jenama mana yang akan menggunakan kemudahan baharu tersebut,” jelas Shamshudin.

Shamshudin berkongsi pengalamannya baru-baru ini ke China di mana beliau telah dibawa oleh PROTON untuk melawat bilik pameran Geely. Lawatan itu nyata memberinya perspektif baharu terhadap usahasama PROTON-Geely.

“Sepanjang pengalaman selama 40 tahun dalam bidang pengedaran kereta, tidak ada satu kereta pun yang menarik minat saya, selain kereta Jerman yang saya miliki.

“Saya telah bersama PROTON sejak dahulu lagi, bermula dengan EON di mana kami telah mengecapi kejayaan. Selepas melalui pelbagai rintangan, saya tidak pasti sejauh mana kami akan kekal dalam pasaran.

“Apabila saya memandu uji kereta Geely Boyue di China, saya dapati ia sangat baik. Melihat kepada kualiti pembinaan dan tahap keselesaannya, saya percaya saya telah menemui faktor yang bakal memacu PROTON kembali ke zaman kegemilangannya,” katanya.  

Menurut anak perempuannya, Rabita yang menyelia operasi kumpulan syarikat, PROTON mempunyai kelebihan sendiri berbanding jenama lain.

“Anda tidak boleh membuat perbandingan kekurangan sesebuah model kerana semua kereta berbeza dan mempunyai kelebihan-kelebihan unik yang tersendiri. Untuk kereta Proton, kami menyatakan kelebihan yang ada padanya yang mungkin tidak wujud pada jenama lain,” jelasnya.

Selepas lawatan ke Shanghai, Pantai Bharu telah memutuskan bilik pameran itu menjadi rumah baharu bagi pengedaran Proton.

Susan Leong dari Hoi Keen Service turut berkongsi pandangan tentang PROTON dan Geely. Beliau mengakui bahawa lawatan ke China itu telah menguatkan keyakinan terhadap jenama PROTON.

Hoi Keen bukanlah nama yang asing bagi orang Kuantan. Syarikatnya telah berkecimpung dalam industri membaiki dan mengecat sejak bertahun lamanya.

“Saya melihat kereta EV Geely dan sangat kagum dengan teknologinya. Hakikat bahawa ia digunakan oleh syarikat perkhidmatan perkongsian kereta iaitu CaoCao, menunjukkan bagaimana EV Geely dan teknologinya boleh dipercayai,” kata Leong.

Kini, Hoi Keen mengendalikan pusat perkhidmatan PROTON, pusat membaiki dan mengecat. Ia juga diberi lesen untuk mengendalikan pusat 4S PROTON sejak dua tahun lalu.

Hoi Keen kini sedang merancang sebuah pusat PROTON 4S terbesar di Pahang. Terletak di Indera Mahkota 3, jumlah kos pelaburan (termasuk plot tanah) melibatkan kos berjumlah RM16 juta.

Pelaburan besar seperti itu adalah luar biasa dalam kalangan pengedar kereta di Malaysia tetapi membuktikan betapa yakinnya Hoi Keen terhadap jenama tempatan ini.

“Ketika saya berada di Shanghai dan melawat pusat pengedar 4S dari Geely, saya dapat melihat apa yang boleh dilakukan untuk meningkatkan perkhidmatan pelanggan.

“Ini adalah satu-satunya cara untuk terus maju, dengan memperluaskan perniagaan kepada sekurang-kurangnya sebuah pusat 3S atau 4S kerana perkhidmatan kepada pelanggan tidak harus berhenti hanya setakat jualan sahaja.

“Nilai tambah bagi pelanggan semestinya setelah mereka membeli kereta. Saya faham mengapa pengurusan PROTON mendesak pengedarnya untuk memperluaskan cawangan mereka ke 3S atau 4S.

“Pengalaman pemilikan yang cemerlang harus menjadi satu langkah yang positif untuk terus maju demi memulihkan jenama PROTON,” jelas Leong.

Google ads
Back to top button