MERCEDES-BENZ A-CLASS GENERASI BARU – 2 VARIAN, SISTEM MULTIMEDIA MBUX, BERMULA RM227,888

SHARE

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini melancarkan jentera kompak popularnya, A-Class generasi baharu.

Model itu didatangkan dalam dua varian iaitu A 200 dan A 250 AMG Line. Anda boleh memiliki A200 pada harga RM227,888 seunit, manakala A250 pula berharga RM263,888.

Selain bentuk yang cukup sporty, Mercedes-Benz A-Class dijana oleh dua pilihan enjin berprestasi tinggi dan menjimat minyak.

Varian A200 menggunakan khidmat enjin 1.3 liter turbocharged empat silinder sebaris yang menyalurkan 163hp. A250 pula dikuasakan oleh enjin 2.0 liter empat silinder turbocharged yang berupaya menghamburkan 224hp.

Kedua-dua enjin itu dipadankan dengan transmisi automatik 7G-DCT klac berkembar. Ia turut hadir bersama mod pemanduan Eco, Comfort, Sport dan Individual.

Menyentuh tentang prestasi, A 200 boleh mencatat kelajuan maksimum sehingga 225 kilometer sejam (km/j) dan 250km/j bagi A 250. Kedua-dua jentera itu mampu memecut 0-100km/j dalam tempoh hanya 8 dan 6.2 saat.

A-Class menjadi model pertama yang dipasang dengan ciri Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang canggih. Sistem multimedia itu memiliki keupayaan untuk ‘belajar’, terima kasih kepada teknologi kepintaran buatan (AI) yang ada padanya.

Ia diaktifkan dengan menyebut “Hey Mercedes”, MBUX dikatakan mampu memahami hampir semua ayat berkaitan fungsi infotaimen dan operasi kereta.

Ini termasuklah arahan atau input destinasi yang ingin dituju, panggilan telefon, pemilihan muzik, kawalan suhu dan lampu. Harus tahu juga bahawa MBUX boleh diubah suai dan diadaptasi mengikut kecenderungan individu.  MBUX terdiri daripada skrin sentuh, pad sentuhan pada konsol tengah dan butang kawalan di stereng.

Ruang kabin menerima perubahan ketara menerusi konsep moden premium. Paling ketara ialah skrin sentuh besaiz besar beresolusi tinggi yang hadir sebagai ciri standard dan menjadi sebahagian daripada MBUX.

Lebih menarik lagi, skrin digital tersebut boleh diubah dengan beberapa mode berbeza seperti Classic, Understated atau Sport. Stereng yang dibalut kulit meningkatkan lagi rasa sporty.

Terus mengekalkan rekaan dinamik untuk mereka yang berjiwa muda, Mercedes-Benz A-Class menerima penambahbaikan menyeluruh, dari segi dalaman dan luarannya.

Bahagian hadapan diserlahkan dengan lampu LED berprestasi tinggi yang bukan sahaja untuk napak mengagumkan, malah meningkatkan tahap keselamatan pada waktu malam.

Buat kali pertama kalinya, A-Class didatangkan standard denga ciri kunci pintar KEYLESS-GO yang pastinya memudahkan urusan pemanduan harian.

Pada masa sama, ia dilengkapi ciri keselamatan dan sistem bantuan pemanduan baharu. Antaranya ialah Bantuan Parkir Aktif bagi memudahkan pemandu memarkir kereta secara selari.

Mercedes-Benz A-Class juga hadir dengan lampu ambient 64 warna yang boleh dipadankan dengan gaya paparan skrin besar.

“Mercedes-Benz A-Class merupakan satu revolusi kualiti dan kemewahan yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

“Model ini menginterpretasikan semula definisi kemewahan moden menerusi MBUX yang boleh diaktifkan dengan arahan Hey Mercdes!” kata Naib Presiden Jualan dan Pemasaran MBM, Mark Raine.

GALERI

Share this post

scroll to top