Buletin

MINI COOPER S 3 PINTU, 5 PINTU & JOHN COOPER WORKS 2018 – BERMULA RM226,888 SEUNIT

MINI Malaysia hari ini memperkenalkan MINI baharu ke pasaran tempatan. Jentera itu ditawarkan dalam tiga varian pada harga berikut:

MINI Cooper S 3 Pintu:                                           RM226,888

MINI Cooper S 5 Pintu:                                          RM236,888

MINI John Cooper Works Hatch:                          RM283,888

 

MINI yang pertama dihasilkan pada tahun 1959 menjadi ikon reka bentuk yang mempunyai tarikan seperti selebriti dalam sejarah budaya pop dan pemotoran.

MINI dicipta melalui penggunaan ruang kreatif, pengalaman pemanduan ala go-kart dan reka bentuk yang mempunyai impresi tersendiri sehingga ke hari ini.

MINI Baharu

MINI 3 pintu,MINI 5 pintu dan MINI John Cooper Works baharu diperkenalkan dengan enjin dan transmisi terkini daripada BMW Group yang mematuhi standard Euro 6c untuk pengalaman pemanduan lebih mengujakan serta penggunaan lebih jimat.

Ia didatangkan dengan elemen lebih emotif dan reka bentuk signatur seperti MINI Logo Projection, lampu hadapan LED dan lampu belakang Union Jack dengan Lampu Nyalaan Siang (DRL) dan logo baharu pada badan kenderaan yang membezakannya model terdahulu.

Enjin telah ditambah baik agar lebih jimat. Penggunaan pelindung enjin yang 13% lebih ringan diperbuat daripada Carbon Fibre Reinforced Plastic (CFRP). Jadi, MINI menawarkan enjin lebih ringan sehingga lapan kilogram.

Fungsi coasting yang sebelum ini hanya boleh digunakan melalui mod GREEN kini boleh diaktifkan dengan mode MID. Untuk MINI John Cooper Works, fungsi MSA Connected dapat menjimatkan minyak melalui sistem start/stop pintar.

Buat pertama kalinya di rantau Asia Tenggara, MINI Malaysia memperkenalkan MINI Yours Customised Accessories yang membolehkan beberapa komponen seperti side scuttles, fascia kokpit, LED Door Sills Finisher dan LED Door Projector dihasilkan mengikut spesifikasi pelanggan.

MINI Yours Customised Services boleh direka suai dan dipesan melalui www.yours-customised.mini.

Kotak gear klac berkembar 7 kelajuan

MINI Cooper S 3 pintu dan 5 pintu merupakan antara MINI pertama yang dilengkapi kotak gear klac berkembar lac 7 kelajuan dan penukar gear elektronik.

Kedua-dua jentera itu dikuasakan oleh enjin Turbo TwinPower 2.0-liter empat selinder. Ia mampu menjana 192hp dan tork 280Nm dengan kelajuan maksimum 235km/j.

MINI 3 Pintu boleh mencapai kelajuan dari 0-100 km/j dalam masa 6.7 saat, emisi CO2 sebanyak 125g/km dan kombinasi penggunaan minyak 5.5 l/100km. Sementara MINI 5 pintu pula boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat, emisi CO2 128g/km dengan penggunaan minyak sekitar 5.6 l/100km.

 

MINI 3 Pintu

MINI 3 pintu tampil dengan roda Cosmos Spoke 17” berwarna hitam. Di samping Paparan Skrin Sentuh dengan Navigasi, sebuah skrin resolusi tinggi MINI Centre Instrument) yang menyediakan lambakan informasi di hujung jari anda.

MINI 3 pintu didatangkan dengan paparan 6.5” yang boleh dioperasikan menerusi MINI Controller atau skrin sentuh, selain fungsi MINI Connected.

Aplikasi MINI Connected tersebut membolehkan pemilik kenderaan memeriksa tahap penggunaan minyak, jarak bahan api dan lokasi terakhir yang diketahui dengan mudah.

Kereta kompak ini dilengkapi kamera undur dengan ciri kawalan jarak parkir untuk memberi gambaran yang jelas dan garis bagi memudahkan pengendalian.

Ruang kabin dalaman dipasang dengan pencahayaan MINI Yours Illuminated Cockpit. Paparan akan dihidupkan dengan pencahayaan lambang Union Jack, menampilkan 12 warna yang boleh disesuaikan mengikut mood pemandu. Kemasan Leather Cross Punch berwarna hitam pada ruang kabin memberi rasa lebih sofistikated.

MINI 3 pintu tampil dengan tujuh warna iaitu merah, oren, putih, perak, biru, kelabu, dan hijau yang dipadankan dengan bumbung hitam. Model berwarna merah juga boleh dipadankan dengan bumbung putih.

MINI 5 Pintu

MINI 5 Pintu dilengkapi roda John Cooper Works Track Spoke 17 inci berwarna hitam berkilat dengan tayar jenis run-flat. Kit aerodinamik John Cooper Works yang terdiri daripada spoiler belakang juga dipasang.

Varian ini menggunakan komponen digital yang sama dengan MINI 3 pintu bersama kemasan Leather Cross Punch Carbon Black dan Black Chequered Interior Style.

MINI 5 Pintu tampil dengan enam warna – merah, putih, kelabu, perak, biru dan hijau yang dipadankan dengan bumbung hitam. Warna merah juga boleh dipadankan dengan bumbung putih.

MINI John Cooper Works

MINI John Cooper Works tampil dengan beberapa ciri eksklusif. Kemasan hitam piano jelas memantapkan lagi luarannya.

Selain projeksi logo, lampu LED depan dan belakang, ia turut didatangkan dengan roda John Cooper Works Cup Spoke 2-Tone 18” dan jalur pada bonet. Jentera ini juga dilengkapi bumbung panoramik.

MINI John Cooper Works dikuasakan oleh enjin Turbo TwinPower 2.0-liter 4-Selinder yang berupaya menjana 231hp dan tork. Kuasa ini membolehkannya memecut dari 0-100km/j dalam masa 6.1 saat.

Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan Steptronic Sports. Suspensi Adaptif yang menjadi ciri standard pula menawarkan pengendalian lebih baik.

Ruang kabinnya dipasang dengan tempat duduk jentera lumba John Cooper Works, kulit Dinamica bersama jaluran berwarna merah, alas bumbung berwarna hitam dan pedal keluli tahan karat.

MINI John Cooper Works dilengkapi skrin sentuh lebih besar, 8.8 inci bersama ciri navigasi dan Natural Language Recognition serta Head Up Display.

MINI John Cooper Works tampil dalam empat warna iaitu hijau, hitam dan putih dengan Bumbung Merah. Manakala warna merah dengan bumbung hitam.

Pembiayaan MINI

MINI baharu boleh dimiliki menerusi pelbagai opsyen pembiayaan yang inovatif daripada BMW Group Financial Services Malaysia.

Ia merangkumi MINI Full Circle Financing, MINI Straight Line Financing dan MINI Balloon Financing. Dengan MINI Balloon Financing, pelan ansuran bulanan bagi MINI 3 pintu bermula RM2,595 sebulan.

MINI 5 pintu pula bermula dari RM2,710 sebulan dan MINI John Cooper Works bermula RM3,247 sebulan.

Semua model MINI baharu boleh didapati melalui pengedar sah MINI di seluruh negara bermula dari 14 Julai 2018.

GALERI

Google ads
Back to top button