MISTERI HONDA NSX DI NURBURGRING, ADAKAH INI VERSI UJIAN NSX TYPE-R?

SHARE

Baru-baru ini saluran youtube supercarsfromeu memuatnaik video Honda NSX Type sedang diuji di litar Nurburgring, Jerman. Ia tersebar cepat dengan pelbagai spekulasi mula kedengaran di kalangan media Eropah. Teori paling dekat ialah ia berkemungkinan unit ujian versi Type-R NSX yang dijangka akan diperkenalkan pada tahun depan.

Sejak hari pertama pelancarannya pun, desas-desus penghasilan model Type-R sudah kedengaran. Sudah tentu, ia satu-satunya kereta sukan Honda berpintu dua pada hari ini.

BACA: APAKAH MAKSUD SEBENAR NSX?

Berbeza dengan Civic Type R yang menggunakan kerangka sedia ada dari Civic FC, NSX adalah kereta yang dibangunkan dari idea kosong dan matlamatnya untuk pasaran premium.

Honda NSX Type-R dijangka akan mempunyai ekstra 50 kuasa kuda berbanding versi biasa. Bukan itu sahaja, kereta super dengan 600hp tersebut akan menggunakan komponen gentian karbon yang meluas.

Kereta yang dirakam ini dilihat mempunyai pengesan di bahagian bumbung dan hud enjin dengan dua buah kereta diuji serentak.

Ia adalah perkara biasa dalam sesi ujian awal yang mana data daripada kedua-dua kereta akan dibandingkan. Kereta NSX berwarna hitam mungkin unit Type R dengan modifikasi enjin sementara kereta berwarna perak pula sebagai perbandingan. Data-data ujian inilah yang akan menentukan produk akhir bagaimana yang akan terhasil nanti.

Apa lagi kemungkinan lain?

Ada. Mungkin juga unit Type R ini sedang jalani ujian awal di “Neraka Hijau”. Ini kerana Honda tak pernah umumkan catatan masa NSX di Nurburgring. Bukanlah wajib pun catatan masa kereta sukan di sini tetapi Nurburgring adalah litar tidak rasmi bagi pengeluar untuk mempamerkan kereta masing-masing.

Catatan masa di sini akan jadi kayu pengukur bagi kereta-kereta pesaing yang lain.

 

(Visited 1,521 times, 1,521 visits today)

Share this post

scroll to top