MITSUBISHI INDONESIA BERJAYA KESAN BAYI “PAJERO SPORT” DAN BERI HADIAH ISTIMEWA

SHARE

“Pajero Sport” yang dimaksudkan bukanlah sebuah model keluaran Mitsubishi Motors tetapi nama yang diberikan kepada seorang bayi yang baharu sahaja dilahirkan di Indonesia pada bulan lepas.

Kisah bayi yang diberi nama Pajero Sport oleh bapanya itu tular di laman maya, sekaligus mendapat perhatian pihak pengurusan PT Mitsubishi Motors Krama Yudha Sales Indonesia (MMKSI) yang merupakan pengedar tunggal jenama Mitsubishi di Indonesia.

Sebaik sahaja berita mengenainya menjadi tular, pihak MMKSI telah cuba mengesannya untuk menyampaikan penghargaan.

Bayi tersebut kemudiannya berjaya ditemui di Pamulang, Kota Tangerang Selatan, Provinsi Banten. Sejurus berjaya dikesan, pihak pengurusan PT MMKSI segera menghantar wakil mereka berkunjung ke kediaman ibubapa Pajero Sport untuk berkenalan untuk memberi penghargaan.

Rombongan MMKSI diketuai oleh Ketua Perhubungan Awam dan Khidmat Pelanggan MMKSI, Intan Vidiasari dan pasukannya. Mereka telah berkunjung ke sana pada 1 Jun 2017.

Intan berkata, keseluruhan warga kerja MMKSI merasa sunguh bangga kerana berjaya menjadi sebahagian daripada kehidupan keluarga Pak Muis, bapa kepada Pajero Sport. Ia juga membuktikan yang Pajero Sport begitu berpengaruh dalam kehidupan masyarakat di Indonesia, sehingga telah menjadi nama pilihan untuk bayi kesayangan yang baharu lahir.

Pak Muis turut berkongsi latar belakang pemilihan nama tersebut untuk bayinya yang baharu lahir. Pak Muis mengatakan betapa beliau merupakan salah seorang peminat SUV Pajero Sports terbaru Mitsubishi itu.

Model Pajero Sports itu juga memiliki lampu belakang yang cukup bergaya, sambung Pak Muis. Malah setiap kali berada di jalan raya, beliau akan selalu memandang dengan penuh minat jika berselisih dengan model Pajero Sport.

Sehinggalah anak keempat beliau lahir pada hari Jumaat 25 Mei 2017, beliau terlintas untuk menamakan anak bongsunya itu dengan nama Pajero Sport. Pak Muis memberitahu Intan, beliau berharap anak yang baharu lahir itu akan memiliki karektor yang gagah, teguh dan kuat sama seperti Mitsubishi Pajero Sport dalam menempuh cabaran hidup.

Walaupun ramai pihak yang memandang sinis dengan nama tersebut yang dipilih untuk seorang bayi, Pak Muis tetap kuat dengan pendiriannya dan enggan berganjak dari keputusan beliau.

Beliau juga tidak mempunyai maksud lain sewaktu menamakan bayinya dengan nama Pajero Sport. Jauh sekali untuk mengambil hati pihak Mitsubishi sebagaimana dakwaan sesetengah pihak. Bahkan beliau juga menjelaskan sememangnya beliau tidak mampu mendapatkan model tersebut. Ianya hanya disebabkan minat yang mendalam terhadap jentera Pajero Sport.

BACA: EVOLUSI 40 TAHUN MITSUBISHI PAJERO

MMKSI juga memberikan penghargaan kepada keluarga ini kerana inilah kali pertama ada keluarga yang menamakan bayi mereka dengan nama Pajero Sport. Bahkan penggunaan dua suku kata memang menunjukkan minat mereka yang cukup mendalam terhadap model tersebut.

Ia merupakan saat yang sangat istimewa buat keluarga Pak Muis dan warga kerja MMKSI. Mereka juga mengajak keluarga Pak Muis untuk mengenali dengan lebih dekat kenderaan kegemaran mereka itu.

Jadi adakah mereka menerima sebuah Pajero Sport baharu sebagai hadiah? Malangnya tidak, tetapi menurut Intan pihak MMKSI telah memberikan segala kelengkapan untuk Pajero Sport yang sememangnya amat diperlukan oleh keluarga tersebut. Tak faham? Mereka berikan kelengkapan bayi.

Bagaimana dengan anda yang bakal menimang cahaya mata? Ada tak yang nak menamakan anak mereka dengan nama kereta kegemaran anda? Nissan GT-R, Lexus LFA ataupun Tiara Hybrid misalnya?

SUMBER BANGKA TRIBUNEWS

 

(Visited 9,590 times, 14 visits today)

Share this post

scroll to top