Buletin

MITSUBISHI OUTLANDER 2.4L CKD – RM155,000 SEUNIT

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) hari ini memperkenalkan SUV Mitsubishi Outlander 2.4L pemasangan tempatan (CKD). Ia merupakan varian tambahan kepada Outlander 2.0L CKD yang dilancarkan pada September tahun lalu.

SUV baharu ini ditawarkan pada harga RM155,00 seunit, RM16,000 lebih murah berbanding model CBU. Biarpun begitu, Outlander 2.4L tetap dipasang dengan beberapa ciri menarik seperti lampu utama LED, lampu nyalaan siang (DRL) LED, bumbung suria, pintu belakang elektronik, cermin pandang belakang anti silau dan banyak lagi.

Sama seperti model CBU, Outlander 2.4L digerakkan oleh enjin aspirasi biasa (N/A) berkuasa 167PS dan tork 222Nm. Ia kemudian dipadankan dengan transmisi INVECS-III CVT enam kelajuan bersama paddle shifter. 

Jentera itu didatangkan dengan sistem pacuan empat roda (4WD) pintar. Sistem Multi-Select 4WD menawarkan tiga mode pemanduan iaitu 4WD Eco, 4WD Auto dan 4WD Lock untuk disesuaikan dengan apa jua permukaan jalan.

Dari segi keselamatan, ia dilengkapi tujuh beg udara, ABS, EBD, Brake Assist, Active Stability & Traction Control (ASTC), ISOFIX dan Hill Start Assist sebagai ciri standard.

Dibina di atas kerangka Mitsubishi Reinforced Impact Safety Evolution (RISE), Outlander 2.4L dipasang dengan ciri Auto Hold Assist yang tidak memerlukan pemandu menekan brek ketika menunggu di lampu isyarat atau terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

Urusan memarkir SUV yang besar itu kini lebih mudah dengan ciri All Round Monitor. Ia menyediakan pandangan 360 darjah dari atas bersama garis parkir pada bahagian hadapan, sisi dan belakang. Bagi kemudahan pemandu, Outlander dipasang dengan perakam video digital (DVR). Selain filem keselamatan pada tingkapnya.

Ruang kabin menawarkan tujuh tempat duduk yang luas untuk semua. Apabila tempat duduk baris kedua dan ketiga dilipat, ruang kargo dapat ditingkatkan sehingga 1,608 liter.

Tiga warna pilihan diberikan iaitu merah metalik, putih dan hitam (Ruby Black) menjadi warna baharu yang eksklusif untuk pasaran Malaysia.

Outlander 2.4L ditawarkan pada harga RM155,000 (tidak termasuk insurans). Sempena sambutan Tahun Baru Cina, MMM menawarkan diskaun sebanyak RM4,000 untuk SUV tersebut.

Ia turut hadir bersama penyelenggaraan percuma selama dua tahun, serta jaminan pengilang untuk lima tahun dan perbatuan tanpa had.

Google ads
Back to top button