MITSUBISHI TRITON BAHARU – 6AT, LEBIH CANTIK DAN SELAMAT

SHARE

Mitsubishi Motors Corporation (MMC) hari ini melakukan premiere dunia model trak pikap terkenalnya, Triton di Bangkok, Thailand. Ia dijangka mula dijual di pasaran Thailand pada 17 November 2018.

Ia merupakan versi terbaharu Triton yang menyambut ulang tahun ke-40 pada tahun ini. Trak pikap tersebut dihasilkan di kilang milik Mitsubishi Motors (Thailand) Co. Ltd. (MMTh), di Laem Chabang.

Selaku sebuah model strategik global, Triton akan dilancarkan ke pasaran ASEAN, Ocenia, Asia Barat, Eropah dan Amerika Latin secara berperingkat-peringkat. Secara total, Triton baharu akan dijual di 150 buah negara di seluruh dunia. 

“Triton ialah model kami yang paling penting. Kejayaannya akan memacu momentum pertumbuhan syarikat secara mapan. Model baharu ini menerima penambahbaikan dari segi ketahanan, lasak dan selesa.

“Saya yakin Triton baharu mampu memenuhi apa jua keperluan pelanggan di seluruh dunia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors, Osamu Masuko.

Jadi, apakah keistimewaan Triton baharu ini?

  1. Reka bentuk “Engineered Beyond Tough”

Mengaplikasikan konsep reka bentuk “Rock Solid” yang mantap dan bergaya. Bahagian hadapan diserlahkan dengan rekaan “Dynamic Shield” generasi baru. Garis hud enjin dan posisi lampu yang tinggi memberikannya penampilan lebih garang. 

Bahagian sisi pula tampil maskulin dengan garis-garis tajam, arca roda dan kemasan yang membuatkannya kelihatan lebih moden. Bahagian belakang pula direka agar nampak lebih lebar dan mantap

Ruang kabin menekankan aspek moden dan lasak bersama corong pendingin hawa serta susun atur suis panel yang ergonomik. Aspek kualiti dipertingkatkan dengan penggunaan material lembut pada perehat tangan dan sebagainya.

2. Sistem 4WD S

Jentera ini dilengkapi sistem pacuan Super-Select 4WD atau Easy-Select 4WD  yang membolehkan penukaran mode pemanduan dapat dibuat dengan mudah.

Kedua-dua sistem pacuan tersebut hadir dengan mode off-road baru yang terdiri daripada talaan GRAVEL, MUD/SNOW, SAND dan ROCK (4LLc sahaja). Apabila diaktifkan, mode off-road berfungsi mengawal kuasa enjin, transmisi dan brek untuk memaksimumkan prestasinya. 

3.  Sistem keselamatan aktif/bantuan pemandu

Antara sistem keselamatan dan bantuan pemandu yang dipasang pada Triton termasuklah:

  • Forward Collision Mitigation (FCM) – mengesan kenderaan dan pejalan kaki di hadapan.
  • Blind Spot Warning (BSW with LCA) – membantu pemandu peka dengan kenderaan yang berada dalam titik buta ketika hendak menukar haluan.
  • Rear Cross Traffic Alert (RCTA) – membantu mengelak pelanggaran ketika mengundur.
  • Ultrasonic Misacceleration Mitigation System (UMS) – berfungsi mengurangkan kemalangan kerana menekan pedal minyak secara tidak betul ketika berada di kawasan parkir atau ruang sempit.

Ciri Multi Around Monitor menawarkan pandangan dari atas yang memberi kemudahan dan keyakinan kepada pemandu, terutama ketika hendak memarkir kenderaan.

4.  Rangkaian kuasa

Triton masih mengekalkan enjin 2.4L MIVEC turbo diesel dengan teknologi Variable Geometri Turbo (VGT) berkuasa 178hp dan tork 430Nm.

Mitsubishi juga menggantikan kotak gear kepada transmisi automatik enam kelajuan yang lebih lancar, berkuasa dan menjimatkan.

Triton hadir dengan pelbagai penambahbaikan seperti cakera brek lebih besar. Aspek pengendalian kini semakin mantap dengan peredam belakang yang lebih lebar.

Pelan Mitsubishi Motors Malaysia (MMM)

MMM akan mengadakan prebiu rasmi Triton di acara Kuala Lumpur International Motor Show 2018 pada 23 November hingga 2 Disember 2018. Orang ramai juga boleh melihat Triton baharu secara dekat di lokasi-lokasi berikut:

Mereka yang berminat boleh mendaftar di laman web: http://mitsubishi-motors.com.my/new-triton-teaser/

GALERI

Share this post

scroll to top