BuletinMotosikal

MODENAS AKAN PERKENAL MOTOSIKAL STREET NAKED 400CC, ABS, LAMPU LED DAN SLIPPER CLUTCH!

Ini berita yang baru kami terima dari sumber risikan yang kukuh. Modenas khabarnya akan meluaskan lagi pasaran motosikal mereka dengan varian terbaru 400cc. Kapasiti enjin terbesar setakat yang pernah dipasarkan oleh pengeluar Motosikal ini.

Kami dimaklumkan bahawa Modenas bakal menjenamakan semula Bajaj Dominar 400cc sebagai maklumbalas dari sambutan luarbiasa yang diterima daripada TIGA model yang telah dilancarkan dua bulan yang lalu.

BACA: MODENAS LANCAR V15, NS200 DAN RS200

Sejak menjalinkan kerjasama dengan Bajaj Auto dari India, Modenas telah memperkenalkan motosikal street bike klasik V15, street bike NS200 dan sport bike RS200. Berdasarkan angka jualan semasa, prestasi jualan Modenas dikatakan melonjak melebihi sasaran sejak tiga bulan yang lalu. Jelas, Modenas sudah mula memahami permintaan pengguna.

DOMINAR 400

Ia adalah motosikal street bike paling besar pernah dihasilkan oleh Bajaj Auto. Sepertimana yang dimaklumkan sebelum ini, Bajaj ialah rakan sekutu KTM di India dan sepertimana NS200/RS200 berkongsi enjin dengan Duke 200, Dominar 400 juga berkongsi teknologi dengan enjin Duke 390.

Bajaj menggunakan unit enjin sama dengan kapasiti 373cc 4-injap DTS-i dengan suapan bahanapi jenis suntikan serta trademark TIGA palam pencucuh (triple-spark). Enjin selinder tunggal ini berupaya menghasilkan sebanyak 34.5 BHP pada 8,000 RPM dan 35 Nm tork pada 6500 RPM.

Kuasa disalurkan ke roda belakang dengan kotak gear enam kelajuan. Apa yang lebih menarik lagi ia dipasangkan dengan “slipper clutch” yang lazimnya hanya diperkenalkan pada enjin motosikal bersesaran lebih besar. Pengagih beban ini penting bagi menyeimbangkan kesan brek enjin ketika pendikit dilepaskan. Juga dikenali sebagai back torque limiter, fungsinya memastikan roda tidak “terkejut” bila gear rendah ditukar pada kelajuan tinggi.

Sebagai model flagship Bajaj, ia turut diberikan pilihan model spesifikasi penuh yang meliputi sistem brek anti kekunci ABS bagi varian tertinggi. Kami difahamkan Modenas hanya memilih satu varian sahaja dan berita baiknya, ia adalah varian tertinggi.

Brek ABS ini diintegrasikan bersama angkup BYBRE dan cakera berdiameter 320mm di hadapan. Sistem suspensinya menampilkan fork jenis teleskopik berdiamater 43mm di hadapan dan suspensi mono dengan spring berkembar di belakang

Dominar juga dilengkapi dengan panel meter LCD dwi bentangan yang menarik (seperti RS/NS). Lampu utama motosikal ini juga dilengkapi dengan teknologi LED.

BILAKAH AKAN DILANCARKAN?

Tidak pasti, tetapi kami menjangkakan ia akan dilancarkan menjelang penghujung tahun sebelum bulan Disember. Kerana jika mengikut apa yang dijelaskan dalam beberapa sidang media yang lepas, Modenas masih “berhutang” motosikal super moped 150cc dengan rakyat Malaysia yang mana kami jangka akan dilancarkan pada bulan Disember sebagai tarikh akhir.

Jika melihat kepada perkembangan mutakhir Modenas yang cukup agresif memperkenakan motosikal sejak 12 bulan yang lalu, kita boleh jangka yang mereka akan memperkenalkannya secepat mungkin.

BERAPA HARGANYA?

Soalan bonus, kami juga nak tahu dan berharap ia dijual dalam lingkungan harga munasabah. Sekali lagi, jika melihat kepada usaha keras Modenas menerusi harga tak masuk akal sebelum ini, kami yakin Dominar 400 ini akan jadi motosikal termurah dalam pasaran dalam kategorinya.

Sebagai perbandingan, harga V15 150cc ialah bawah RM6,000. Harga NS200CC RM9,000 dan RS200 RM10,500. Jangkaan kami untuk Dominar 400 ini ialah di bawah RM20,000. Mungkin sekitar RM18,000 ke RM19,000.

Jadi, masanya akan tiba juga dan nasihat kami, bagi siapa yang belum miliki lesen B penuh, bolehlah bersedia sekarang.

GALERI

 

 

Google ads
Back to top button