MOTOGP: KEUTAMAAN KAMI IALAH TEMPAT UNTUK SYAHRIN DALAM TECH3 DAN BUKANNYA MEWUJUDKAN PASUKAN BAHARU – RAZLAN RAZALI, CEO SIC

SHARE

Demikian menurut kata Razlan Razali, CEO Litar Antarabangsa Sepang(SIC) ketika ditanya sama ada mereka berminat untuk mewujudkan pasukan MotoGP baru. Memastikan Hafizh Syahrin merebut tempat dalam pasukan Tech3 pada musim 2019 adalah jauh lebih penting dan merupakan keutamaan mereka.

Kenyataan beliau itu sekaligus menjawab persoalan kononnya litar SIC berminat untuk menubuhkan pasukan lumba sendiri ataupun melaburkan wang untuk membeli mana-mana pasukan yang ingin dijual untuk musim 2019. Keutamaan mereka kekal iaitu untuk memastikan Hafizh bersama pasukan Tech3 untuk musim kedua.

Razlan merupakan orang yang bertanggungjawab membawa masuk Hafizh ke pasukan Tech3. Beliau turut berada di Jerez minggu lepas untuk mengadakan rundingan  berkenaan hala tuju pelumba Malaysia itu pada musim akan datang.

Sebelum berlangsungnya Grand Prix Sepanyol itu khabar angin yang bertiup mengatakan yang Litar Antarabangsa Sepang sedang dalam proses mengambil alih sebuah pasukan MotoGP sedia ada dengan Hafizh dikatakan sebagai salah seorang pelumba utama pasukan baru itu kelak.

Ia bagaimanapun dinafikan oleh Razlan tetapi bukan bermakna idea itu ditolak sepenuhnya. Beliau juga menyatakan yang mereka belum cukup bersedia ke arah itu. Walaupun buat masa kini mereka mempunyai pasukan Moto2 dan Moto3, ia sebenarnya cukup mencabar untuk bersaing dalam kelas utama MotoGP.

BACA: MOTOGP SEPANYOL: BERMULA DI PETAK KE22, HAFIZH AKUI IA CABARAN YANG SUKAR

Mereka juga lebih mengutamakan kedudukan Hafizh apatah lagi buat masa sekarang beliau dilihat cukup selesa dengan pasukan Tech3. Mereka tentu sekali tidak ingin membebankan pelumba dengan mewujudkan pasukan baru yang tentunya mempunyai banyak kekurangan.

Kedudukan Hafizh dalam pasukan Tech3 pada musim 2019 juga belum diputuskan kerana pasukan itu ingin menyelesaikan urusan akhir penajaan dengan Red Bull sebelum memutuskan siapakah bakal menjadi pelumba kedua mereka.

Hafizh sendiri ketika ditanya mengenai kedudukan beliau pada musim hadapan menyatakan ia bukanlah satu keutamaan  buat masa sekarang kerana fokus beliau ialah untuk memberikan yang terbaik pada musim ini. Beliau mahu sentiasa bersedia dan memberikan persembahan yang terbaik dalam setiap perlumbaan.

Share this post

scroll to top