Buletin

MOTOSIKAL BERSADUR EMAS: SEGONI G800 ORO

Biasanya apa sahaja cerita pasal emas ni boleh buat orang jadi gila. Ini bukan cerita pasal lombong emas tetapi tentang sebuah motosikal model baru keluaran Segoni, sebuah syarikat dari Itali, yang akan bersaing dengan Demak. OK yang Demak tu tipu.

Mereka telah memperkenalkan sebuah model baru yang dinamakan Oro sewaktu pameran INTERMOT di Jerman baru-baru ini. Oro bermaksud emas dalam bahasa Sepanyol yang cukup bersesuaian dengan motosikal ini yang memang disadur dengan emas 24K pada bahagian kerangkanya! Ia merupakan sebuah model cafe racer yang kini semakin popular di seluruh dunia.

segoni G800 oro emas (3)

Sedikit maklumat untuk bacaan anda mengenai Segoni. Segoni merupakan sebuah syarikat yang menghasilkan motosikal seperti sebuah butik, iaitu berdasarkan tempahan. Ia sama seperti syarikat Bimota, Egli dan Harris Performance.

Kemunculan mereka adalah kerana kebanyakan motosikal yang dihasilkan syarikat Jepun adalah cukup berkuasa tetapi pada masa yang sama menggunakan cesi yang kurang sesuai dan agak ketinggalan zaman.

Mereka menghasilkan motorsikal sendiri tetapi menggunakan enjin-enjin kontemporari dan kerangka bespoke yang kukuh. Banyak syarikat yang sudah berkubur tetapi ada yang masih aktif terutamanya Segoni yang sudah lama menyepi sejak pengasasnya meninggal dunia sekitar tahun 1979.

segoni G800 oro emas (2)

Kini ia kembali aktif dengan penghasilan Oro ini. Motosikal ini juga merupakan jelmaan kepada sebuah motorsikal yang pernah dihasilkan oleh syarikat ini pada tahun 70-an.

Syarikat yang diasaskan oleh Giuliano Segoni ini kini diambil alih oleh anak beliau, Lorenzo Segoni (Best betul kalau ayah kita ada kilang motor sendiri kan?). Pada peringkat awal, Segoni memulakan pengeluaran dengan motorsikal yang menggunakan enjin Laverda dan direka untuk menyertai perlumbaan Imola 200. Kemudian mereka berkembang dengan menggunakan enjin 4-selinder Kawasaki untuk pelbagai model yang dihasilkan mereka sekitar tahun 70-an.

G800 Oro ini dikuasakan oleh enjin 800cc yang sama dengan Kawasaki Z800. Bukan hanya ia mempunyai kerangka besi chrome molibdenum yang disalut dengan emas, ia juga dilengkapi dengan rim-rim 17 inci aloi tempabuatan OZ Racing.

segoni G800 oro emas (7)

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan Oro ini dilengkapi dengan perkakasan terbaik yang boleh dibeli pada masa kini. Fork hadapan adalah jenis terbalik keluaran Marzocchi. Perkakasan lain termasuklah angkup brek Brembo M4 depan dan belakang, sistem ekzos four-into-four Arrow yang cukup bergaya, tangki minyak aluminium dan sistem suspensi Bitubo.

Lengan hayun belakang pula ada custom dan dibuat dengan tangan. Boleh dikatakan motorsikal ini adalah hampir 90 peratus buatan Itali kecuali enjinnya.

segoni G800 oro emas (6)

Kemasan lain termasuklah bateri yang diletakkan dengan kemas di dalam lengan hayun selain penggunaan gentian karbon yang meluas khususnya di bahagian panel luar. Tempat duduknya pula dihasilkan dengan buatan tangan untuk eksklusiviti.

Rekaan G800 Oro ini dihasilkan oleh studio rekaan automotif terkenal Itali, Debenedetti & Fiordi dan mempunyai pengaruh motosikal klasik tahun 1975, Kawasaki Z900 Segoni Special.

segoni G800 oro emas (5)

Segoni cuma akan menghasilkan sejumlah 20 unit Oro sahaja dan setiap satunya akan dibuat berdasarkan tempahan. Selepas tempahan anda perlu menunggu lagi tiga bulan untuk disiapkan dan seperti dijangkakan harganya bukan murah. G800 Oro akan menghilangkan duit dalam akaun anda sebanyak 58,000 Euro bersamaan dengan lebihkurang RM268,000. Mahal weh..!!!

segoni G800 oro emas (4)

Jika anda ingin sebuah motor yang boleh menarik perhatian sesiapa sahaja dengan melihatnya dan jika anda mampu,lupakan H2R ataupun Multistrada. Inilah sebuah motor yang anda boleh bawa ke mana-mana cafe terbuka dan menikmati kilauan emas yang ada padanya sambil menghirup secawan kopi  O cap tupai kembar!

Google ads
Back to top button