Buletin

NAK BELI HELMET DI JEPUN? INI 5 PERKARA YANG PERLU ANDA TAHU

Zaman Air Asia dengan penerbangan rendah diri memang membuka peluang pada ramai orang terbang lebih jauh. Ye lah, dulu masa awal-awal Abang Japar pergi Jepun tahun 2000 dulu Air Asia tak lintas pun Tokyo. Masa tu tiket murah pun tetap kena bayar RM2,500 tambang pergi balik. Laliuan Kuala Lumpur- Tokyo masa tu yang harga kurang sembelih cuma ada Singapore Airlines, Thai Airways, MAS dan Cathay Pacific.

Terima kasih Air Asia sebab bila dia terbang ke Jepun, syarikat penerbangan lain mula terkesan dengan tiket murah yang sebenarnya tak murah mana pun. Tapi itulah detik di mana syarikat penerbangan skala penuh mula turunkan harga.

BACA: KAPCAI KAWASAKI 175CC BETUL KE TIPU?

Sekarang, purata harga tiket dari SIA, MAS, Cathay, ANA dan JAL ialah sekitar RM1,500 – RM2,000 sahaja. Apa yang lebih menggembirakan rakyat Malaysia pula ialah bila Kerajaan Jepun sudah memansuhkan penggunaan Visa untuk masuk ke negara tersebut pada 2013.

Memang senang sangatlah kalau banding waktu dulu kau nak kena sediakan macam-macam dokumen mohon visa kemudian hantar ke konsulat Jepun kat Jalan Tun Razak nun. (dan kena tunggu empat lima hari dan kena interview macam-macam)

Baiklah. Apa yang buatkan orang suka nak terbang ke Jepun? kereta? motor? JDM? Suzuki Katana? Evo Tommi Makkinen?

Lazimnya, keunikan budaya dan disiplin rakyat Jepun yang membuatkan ramai yang tertarik dan sebagai peminat kereta/motor, Jepun mesti dilawati sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup.

Tapi, bila dah ke Jepun, selalunya akan terjebak juga ke kedai-kedai aksesori motor dan kereta. Mungkin anda pernah dengar cerita tentang membeli aksesori motor terutamanya helmet. Jadi, kali ini kami gariskan LIMA perkara yang perlu anda tahu sebelum membeli helmet atau aksesori di sana.

1. TAK SEMUA KEDAI MURAH

Ya. realitinya memang begitu sebab tiada harga tetap yang standard. Kita ambil contoh helmet popular Arai Ram 4. Bagi warna-warna kosong (plain) seperti perak, putih, hitam, harganya bermula serendah 30,000 Yen (RM1,115) dan ada setinggi 35,000 yen (RM1,300).

Jadi, anda perlu survey kedai-kedai besar seperti Ricoland, NAPS, UPC Ride On atau beberapa kedai kecil yang kadang-kadang harganya menarik seperti kedai Come-Come dan SCS Tokyo.

BACA: 10 HELMET PALING SELAMAT DI DUNIA

Mengikut pengalaman Abang Japar, setiap kedai ni menawarkan harga yang berbeza pada setiap barangan. Kadang-kadang harga jaket di Ricoland lebih murah berbanding Rabee, tapi helmet Rabee lebih murah berbanding Ricoland.

Penting sekali ialah tinjau dulu dan buat window shopping atau senaraikan dan bandingkan terlebih dahulu dengan harga di Malaysia.

Kalau kau tak pandai cari, akhirnya kau beli sama harga dengan Malaysia atau kadang-kadang lebih mahal lagi. Pishang kan?

Ricoland – Antara kedai motor popular di Tokyo yang terletak di Tokyo Bay, Odaiba.

2. BEBAS CUKAI (TAX FREE)

Cukai jualan di Jepun (GST) dikenakan sebanyak 8 peratus. Oleh itu, selain kena pandai cari kedai yang murah, pastikan juga kedai tersebut bebas cukai. Maksud bebas cukai di Jepun ialah bebas cukai khusus untuk pelancong.

Sebenarnya, industri pelancongan Jepun memberi banyak insentif. Contohnya, kalau kau nak naik Shinkansen (bullet train) JR Pass untuk pelancong jauh lebih murah berbanding tiket yang dibeli warganegara Jepun sendiri.

Baiklah. Kedai bebas cukai ini kebanyakannya ada papan tanda yang jelas. Namun begitu, ada juga yang tak nampak mana pun. Tapi mengikut pengalaman Abang Japar, kawasan-kawasan bandar utama selalunya memang ada perkhidmatan ini.

Jalan paling selamat ialah tanyakan sendiri pada petugas di kaunter pembayaran kedai tersebut.

Bebas Cukai di Jepun sedikit berbeza dengan konsep pemulangan VAT/GST di negara lain. Di kebanyakan negara lain, kau kena mohon di lapangan terbang waktu balik. Kena isi borang, bagi resit dan wang dipulangkan. Tapi di Jepun, cukai jualan 8% ditolak siap-siap di kedai waktu pembayaran.

Paling penting, jangan lupa bawa pasport bersama dan kalau pakai kad kredit, pastikan maklumatnya sama dengan pemegang pasport. Setiap pembelian memerlukan pasport di imbas, borang ditandatangani dan resit akan dikepilkan ke dalam pasport.

Tapi ada syaratnya, pembelian mestilah lebih daripada nilai 5,000 yen. Kalau kau datang beramai, boleh kongsi bil sesama kawan-kawan.

Rabee Shop – Juga popular kerana lokasinya berdekatan Ueno Ameyoko Street, tempat tumpuan pelancong

3. KADAR TUKARAN ASING

Ini yang paling penting yang akan menentukan murah mahalnya benda yang kau beli. Hari ini tukaran agak stabil iaitu 100 yen bersamaan RM3.80.

Yen pernah melonjak sehingga RM4.40, (sebenarnya Ringgit yang menjunam) dan Abang Japar juga pernah merasai tukaraan Yen RM3.00.

Masa tu rasa berbaloi kalau nak berniaga

4. RISIKO DITAHAN KASTAM

OK. Di sinilah cabarannya. Secara teknikalnya, setiap helmet yang nak dibawa masuk ke Malaysia memerlukan kelulusan permit import (AP) dan untuk mendapat AP ni kita kena memohon dengan MITI. Dan untuk mendapat kelulusan MITI, setiap helmet perlu diuji oleh badan dalam negara yang bertanggungjawab, iaitu SIRIM lah.

Leceh kan? Tapi itulah peraturan.

“Macamana saya tengok kawan-kawan selamba je bawa masuk  Bang Japar?”

Macam bawak motor di lorong kecemasan. Polis tak tahan kau pun, kalau ada roadblock paling-paling pun dia suruh masuk jalan utama semula.

Walaupun semua umat manusia serta penduduk planet Zuhrah, Marikh, Pluto tahu bahawa helmet Jepun memang sudah diuji lama malah selamat dipakai penunggang MotoGP pun, tapi itulah. Peraturan tetap peraturan. Setiap negara ada peraturan masing-masing.

Nasihat Abang Japar, kalau disekat pihak Kastam, cuba bertenang dan cakap elok-elok. Mereka pun manusia sama macam kita. Mereka jalankan tugas sahaja.

Amat jarang sekali helmet dirampas. Kebiasaannya, kakitangan kastam akan mengenakan cukai. Berapa? Tak tentu.

Mesti ada yang goyang kan? Aduh, kalau kena tahan tak berbaloi lah.

Mengikut pemerhatian Abang Japar, jarang sekali yang disekat. Kecuali kau buat muka ketat atau bila ditanya buat muka kerek.

Atau kau jalan lenggang kangkung sambil gantung beg helmet Arai kat bahu. Dah tahu benda salah, letaklah dalam bagasi, atau dalam backpack, kotak dilipat simpan dalam beg utama.

5. 100 PERATUS ORIGINAL DAN ANDA BEBAS MEMILIH

Akhirnya, ia salah satu pembelian yang berbaloi sebab kau beli helmet terus dari negara pengeluarnya. Potong kepala itik lah, barang sudah pasti 100 peratus asli sebab sepanjang yang Abang Japar tahu, tak wujud pun barang cap ayam.

Perlu diingatkan di tahun 2017 ni produk palsu memang ada di mana-mana. Cari dalam talian, orang jual helmet Shoei dan Arai klon berapa banyak boleh jumpa.

Dulu, mereka setakat hasilkan helmet dengan rekaan mungkin 80 peratus sama. Tapi sekarang, mereka buat dengan kualiti hampir 99 peratus macam yang original. Tak cukup dengan helmet, plagiat produk dilengkapkan lagi dengan beg, kotak, manual, visor, pelekat semuanya disalin sebagaimana produk asli.

Selain ketenangan fikiran sebab produk kau beli yakin asli, di Jepun juga seronok untuk membeli. Pekedai di Jepun memang sopan dan mesra.

Kau boleh cuba 600 kali helmet dan kasut tapi tak beli pun mereka masih senyum. Dan barangan yang kau cuba tu biasanya diletak dalam rak kaca di Malaysia. Nak mintak test pun kena fikir 100 kali sebab yang jaga kaunter kedai Malaysia ni bercakap macam warden penjara pun ada.

OK. jadi macamana? jadi tak nak ke Jepun?

Kalau kau minat motor atau kereta, ada kemampuan dan sihat tubuh badan, cubalah ke sana. Kau akan alami sendiri apa yang Abang Japar cerita ni.

Sekarang, kau belek gambar di bawah, pejam mata dan cuba bayangkan….

 

[ngg_images source=”galleries” container_ids=”123″ display_type=”photocrati-nextgen_basic_thumbnails” override_thumbnail_settings=”1″ thumbnail_width=”100″ thumbnail_height=”80″ thumbnail_crop=”1″ images_per_page=”20″ number_of_columns=”5″ ajax_pagination=”0″ show_all_in_lightbox=”0″ use_imagebrowser_effect=”0″ show_slideshow_link=”0″ slideshow_link_text=”[Show slideshow]” order_by=”sortorder” order_direction=”ASC” returns=”included” maximum_entity_count=”5000″]
Google ads
Back to top button