BuletinMotosikal

NAK JADI PELUMBA CUBPRIX? INI PELUANGNYA

Khusus buat remaja-remaja berbakat di luar sana yang berminat untuk menceburi bidang perlumbaan secara profesional, pendaftaran bagi sesi pemilihan pelumba Kategori Satu Pengeluar (OMR) Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS bagi musim 2018 kini telah dibuka.

Sama seperti musim-musim lepas, perlumbaan yang dianjurkan bersama-sama pengeluar, Boon Siew Honda Sdn Bhd dan Hong Leong Yamaha Motor Malaysia Sdn Bhd ini terus memainkan peranan penting dalam melahirkan pelumba-pelumba tempatan berbakat khususnya di peringkat remaja.

Perlumbaan satu pengeluar ini mempunyai sejarah melahirkan dan mengembangkan bakat ramai pelumba-pelumba terbaik negara ketika ini.  Antara bakat-bakat yang lahir dari program ini termasuklah Hafizh Syahrin Abdullah, Mohd Ramdan Rosli, Adam Norrodin, Kasma Daniel Kasmayuddin yang memulakan karier dalam siri perlumbaan Yamaha, Khairul Idham Pawi bersama Honda manakala Mohd Zulfahmi Khairuddin memulakan karier di dalam siri perlumbaan Junior GP pada tahun 2007 dan ramai lagi.

“Langkah Honda dan Yamaha terus menganjurkan siri perlumbaan satu pengeluar bagi melahirkan pelumba generasi baharu merupakan langkah positif buat industri sukan permotoran negara. Setiap tahun, perlumbaan kategori ini terus memperlihatkan muka-muka baharu yang menjadi pelapis kepada generasi pelumba hari ini,” jelas Ron Hogg, Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd, promoter bagi siri Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS.

Tiada sebarang bayaran dikenakan kepada calon yang memohon dan mereka yang terpilih untuk menjalani sesi pemilihan akan dihubungi oleh pihak pengeluar yang akan dijalankan Disember ini.

Bagi yang berjaya melepasi ujian pemilihan dan tersenarai untuk berlumba dalam kategori satu pengeluar musim 2018, pelumba perlu menyediakan bayaran pendaftaran berjumlah RM4000 yang merangkumi bayaran yuran pendaftaran untuk 10 pusingan, insurans, pengurusan dan kelengkapan berkaitan perlumbaan.

Kepada yang berminat, pendaftaran boleh dibuat di laman www.malaysiancubprix.com. Tarikh tutup pendaftaran pada 5 Disember ini.

Google ads
Back to top button