Buletin

NASIM ANJUR BENGKEL PEMANDUAN

Ya betul, kebanyakan daripada kita sudah memandu kereta bertahun-tahun lamanya. Tetapi adakah kita sebenarnya tahu cara pemanduan yang betul?

peugeot-driving-performance-mekanika (14)

Sebagai salah satu bentuk program tanggungjawab korporat sosial, pengedar rasmi kenderaan Peugeot di Malaysia, Nasim Sdn. Bhd. (Nasim) baru-baru ini telah menganjurkan sesi Pemanduan Prestasi Peugeot  (Peugeot Driving Performance) untuk para pelanggannya.

Menjadi program pertama seumpamanya yang dianjurkan oleh satu pengedar Peugeot di seluruh dunia. Secara umumnya, Pemanduan Prestasi Peugeot memberi peluang kepada peserta untuk meningkatkan kemahiran pemanduan mereka.  

peugeot-driving-performance-mekanika (13)

Ia juga satu sesi cukup informatif yang membolehkan peserta mengetahui serba sedikit mengenai teknik-teknik asas pemanduan yang betul dan bagaimana hendak bertindak sekiranya berdepan dengan situasi cemas di jalan raya.

Program yang khusus untuk pelanggan Peugeot itu diadakan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Selangor. Ia juga bertujuan mendidik peserta bagaimana untuk menggunakan ciri-ciri keselamatan yang ada pada kereta Peugeot.  

SONY DSC

Berlangsung dari pukul 8.00 hingga enam petang, ia telah dibahagikan kepada tiga sesi berbeza. Selesai sahaja sesi teori, peserta ditunjukkan dengan demonstrasi cara duduk dan memegang stereng yang betul.

Percaya atau tidak, masih terlalu ramai pemandu di luar sana yang tidak tahu cara memegang stereng dengan betul. Aspek ini amat penting kerana ia membantu pemandu memusing stereng dengan lebih cepat dan efektif.

peugeot-driving-performance-mekanika (15)

Dikendalikan oleh sepasukan jurulatih pemanduan bertauliah, peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan berbeza. Kumpulan saya mulakan dengan sesi mengawal kenderaan sekiranya berlaku masalah understeer atau oversteer.

Kereta yang digunakan dalam latihan ini ialah sedan Peugeot 408. Sesi ini memberi gambaran lebih jelas kepada peserta bagaimana ciri Electronic Stability Control (ESP) mampu memastikan kenderaan tidak hilang kawalan sekiranya dipandu laju terutama ketika mengambil selekoh di atas jalan yang licin.  

peugeot-driving-performance-mekanika (16)

Bagi membolehkan situasi understeer atau oversteer berlaku, jalan disimbah dengan sabun supaya ia menjadi licin. Antara perkara yang dapat dipelajari adalah, pemandu perlu bijak serta tidak panik ketika mengawal stereng dan pendikit minyak agar kereta dapat dikawal dengan selamat.

peugeot-driving-performance-mekanika (18)

Sesi kedua pula memerlukan pemandu menekan brek ABS sekuat hati sambil mengelak halangan. Latihan ini menunjukkan bahawa kenderaan yang dilengkapi brek ABS(dalam kes ini  sedan Peugeot 508) boleh membolehkan kenderaan menukar haluan ke kiri atau ke kanan biarpun ketika brek ditekan sepenuhnya. Pengalaman ini pastinya berguna apabila anda terpaksa mengelak kemalangan dalam situasi sebenar.

peugeot-driving-performance-mekanika (4)

Sesi terakhir pula melibatkan latihan slalom. Selain mengajar pemandu untuk menukar haluan kereta dengan lancar, ia juga bertujuan menyerlahkan aspek kelincahan model kompak Peugeot 208

Biarpun Pemanduan Prestasi Peugeot ini hanya mengajar kemahiran asas, namun ia tetap memberikan pengetahuan berguna. Sekiranya anda seorang pemilik Peugeot dan pihak Nasim ada menganjurkan kursus serupa pada masa akan datang, jangan lepaskan peluang untuk menyertainya.

SONY DSC

Alasannya mudah, pengetahuan ini boleh menjadikan anda pemandu yang lebih baik dan mungkin mampu menyelamatkan nyawa jika terpaksa berdepan dengan situasi cemas.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button