Buletin

NASIM PERKENAL PEUGEOT 208 GTi BAHARU – RM143,888 OTR

Nasim Sdn Bhd (Nasim) telah memperkenalkan Peugeot 208 GTi ke pasaran tempatan. Jentera itu pernah ditawarkan di pasaran tempatan pada Oktober 2013. Sejak itu, ia nyata dapat memenuhi kehendak pemandu yang mahukan sebuah model kompak berprestasi tinggi.

“Kami percaya 208 GTi dengan enjin yang telah dinaik taraf kepada 208hp akan merevolusikan kembali segmen hot hatch kompak di Malaysia. Biarpun di sebalik nilai tukaran wang yang kurang memberangsangkan sekarang, Nasim berjaya memastikan harga 208 GTi kekal kompetitif iaitu RM143,888 seunit di atas jalan termasuk insurans,” kata Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Automotif Naza Corporation Holdings Sdn. Bhd., Dato’ Samson Anand George.

208 GTi dikuasakan oleh enjin THP (Turbo High Pressure) bersesaran 1.6 liter. Kuasa enjin turbo itu ditingkatkan menjadi 208hp (200hp sebelum ini) dan tork 300Nm, naik 25Nm berbanding enjin terdahulu.

Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear manual enam kelajuan. Hasilnya, jentera itu mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa 6.5 saat, 3 saat lebih pantas dengan kelajuan maksimum 230km/j.

Bagi menawarkan kualiti pengendalian terbaik, 208 GTi menggunakan khidmat suspensi Pseudo McPherson untuk roda hadapan dan torsion beam di belakang. Rekaan chasis yang lincah juga menjanjikan keseronokan pemanduannya.

Dari segi penampilan, bahagian hadapan 208 GTi menyerlah dengan gril lebih lebar yang diintegrasikan bersama bampar. Ia juga dilengkapi lampu nyalaan siang (DRL) LED. Bahagian belakang pula dipasang dengan lampu LED yang memang menarik perhatian.

Masuk ke dalam kabin, anda akan dihidangkan dengan rekaan Peugeot i-Cockpit yang kemas dan ringkas. Papan pemuka dipasang dengan paparan skrin sentuh berwarna bersaiz tujuh inci yang hadir sebagai ciri standard.
Tempat duduknya pula dibalut kulit Club Nappa dengan kemasan fabrik Caro Weave.

Tidak berkompromi dengan aspek keselamatan, 208 GTi dilengkapi Stability Control, Traction Control, ABS, EBA, EBFD dan Electronic Stability Program (ESP) generasi terbaru. Sistem keselamatan pasif pula terdiri daripada enam beg udara, sistem amaran tali pinggang keledar dan banyak lagi. Peugeot 208 GTi boleh didapati dalam dua warna menarik iaitu putih dan merah.

Untuk memberi ketenangan minda kepada pemiliknya, 208 GTi hadir bersama jaminan selama lima tahun atau perbatuan sejauh 120,000km.

Bukan itu sahaja, semua model Peugeot didatangkan dengan servis bantuan tepi jalan Peugeot 24 jalan selama tiga tahun secara percuma. Selain akses eksklusif ke Peugeot Lounge di Lapangan Terbang Subang dan keahlian Peugeot Privilege.

BACA: NASIM LANCAR PEUGEOT 208 & 2008 PURETECH 

BACA: PANDU UJI – PEUGEOT 408 e-THP GABUNGAN EMOSI & KUASA 

Google ads
Back to top button