Buletin

NAZA KIA LANCAR KIA GRAND CARNIVAL – BERMULA RM153,888

Naza Kia Malaysia, pengedar rasmi kenderaan Kia di Malaysia semalam melancarkan MPV yang dinanti-nantikan iaitu Grand Carnival serba baharu.

Hadir dalam tiga varian iaitu EX, KX serta D. Harga yang ditawarkan untuk pengguna tempata ialah RM185,888 (EX), RM165,888 (KX) dan RM153,888 (D).

MPV lapan tempat duduk ini bukan sahaja dibangunkan untuk mereka yang trendy dan kontemporari. Malah turut disasarkan ke atas pelbagai pelanggan dari segenap usia dan keluarga yang sukakan aktiviti luar dengan gaya hidup aktif.

Grand Carnival menampilkan wajah depan Kia dengan gril ‘tiger nose’ yang merupakan identiti rekaan Peter Schreyer.

Jentera tersebut dikuasakan oleh enjin 2.2 liter CRDi turbo diesel yang direka khusus untuk kecekapan bahan api serta prestasi. Output kuasa ialah 190hp dengan tork 440Nm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Suspensi depan menggunakan sistem MacPherson dan multi-link untuk roda belakang.

Untuk sistem keselamatan pula, MPV itu dilengkapi Kawalan Penstabilan Elektronik, Hill Start Assist System dan enam beg udara.

Ukuran MPV itu ialah 5,115 mm panjang dengan jarak roda 3,060 mm, tinggi 1,740 mm dan 1,985 mm lebar yang secara keseluruhannya menampakkan ia sebagai sebuah MPV yang kemas serta sofistikated. Bahagian belakang dilengkapi sepasang lampu yang lebar dengan permukaan luas untuk imej yang solid. Ia turut didatangkan dengan pintu but belakang pintar yang boleh dibuka secara automatik apabila kunci kenderaan berada berdekatan.

Bahagian kabin direka kemas dengan peralatan berkualiti tinggi dan teknologi terkini. Papan pemuka yang lebar dilengkapi dua ruang penyimpanan barangan iaitu di bahagian atas dan bawah. Bahagian itu juga direka ala kokpit kapal terbang kelas pertama melalui kerusi individu dibalut kulit bersama penyaman udara automatik tiga zon bagi menjamin keselesaan penumpang.

Grand Carnival dilengkapi sistem multimedia seperti pemain CD MP3 dengan enam pembesar suara serta sambungan USB dan AUX. Ia turut mempunyai skrin sentuh TFT 4.3 inci berwarna yang disambungkan dengan kamera undur. Sterengnya pula daripada jenis tilting dan teleskopik yang mempunyai butang kawalan jelajah (cruise control).

Kerusi penumpang mempunyai konfigurasi fleksibel di mana kerusi bahagian ketiga boleh dilipat sepenuhnya untuk lebih simpanan barang. Manakala kerusi bahagian kedua memiliki tempat duduk tambahan di tengah yang boleh dilipat untuk laluan ke barisan ketiga. Dipasangkan di bawah perehat lengan depan ialah tempat simpanan yang boleh memuatkan beg tangan, diari atau tablet.

“Grand Carnival serba serba baharu ini tampil menarik dengan ciri-ciri hebat serta reka bentuk menawan yang membezakannya dengan MPV lain,” kata Ketua Pegawai Operasi, Bahagian Automotif, Naza Corporation Holdings Sdn. Bhd., Datuk Samson Anand George.

BACA: PREBIU KIA GRAND CARNIVAL – 5 PERKARA YG PATUT ANDA TAHU

BACA: FASTBACK SPORT SEDAN KIA STINGER 

Google ads
Back to top button