Buletin

NISSAN FRONTIER ATTACK, MODIFIKASI NAVARA VERSI AMERIKA LATIN

Pasaran untuk kenderaan pikap bukan sahaja besar di negara seperti Thailand dan Australia tetapi juga di Amerika Latin dan beberapa tempat lain yang mempunyai industri ekonomi pesat dalam bidang perusahaan kecil dan sederhana dan juga perladangan.

Pasaran pikap juga semakin membesar dek kerana versatiliti dan menariknya mengikut gaya hidup aktif. Dek kerana itu cara binaan dan talaan pikap juga sudah semakin berbeza.

Jika sebelum ini, pikap hanya dibuat untuk mengangkut barang dan pekerja kini pengeluar sudah mengambil kira faktor seperti keselesaan, ekonomikal dan keselamatan.

(c) Nissan

Dilengkapi tayar berprofail lebar, kerusi balutan kulit dan kit aerodinamik. Ini suatu yang sangat berbeza dari mula-mula pikap dibina dan dipasarkan. Satu lagi kehairanan apabila pengeluar lebih tertumpu kepada menawarkan aksesori gayaan jalanan (street style) berbanding gayaan off-road. 

Apa pun, pikap dengan konsep gaya hidup aktif tiada salahnya kerana ia adalah salah satu cara pengguna menikmati keseronokan berkenderaan.

(c) Nissan

Pikap bergaya yang ditampilkan ini ialah Nissan Frontier (Navara) Attack iaitu sebuah model konsep dihasilkan oleh Nissan Argentina sempena Pameran Kenderaan Buenos Aires 2017. Model ini lebih kepada projek kajian bagi mendapatkan maklum balas warga Argentina dan sebagai asas jika ia mahu dihasilkan pada masa akan datang.

Frontier Attack dibangunkan oleh Pusat Reka Bentuk Nissan di Rio de Janeiro (NDA-Rio) yang dinspirasi dari permukaan bumi mencabar di Amerika Latin dan juga elemen trak raksasa.

BACA: NISSAN LEAF NISMO DAN SERENA NISMO UNTUK TOKYO MOTOR SHOW – MENGANCAM HABIS!

(c) Nissan

Pilihan yang digunakan untuk Frontier Attack ini biasa sahaja tetapi NDA-Rio bijak bermain dengan warna iaitu merah terang dan hitam krom. Aksesori luaran pun biasa cuma ditampilkan dengan warna hitam pada lampu utama, pemijak kaki dan rak barang. 

Bahagian dalaman menggunakan tema sama iaitu kemasan hitam dan merah pada panel tengah, kerusi balutan kulit, stereng, papan pemuka dan gear. 

Tampil garang dengan kombinasi warna yang menyerlah ialah apabila pikap ini ditinggikan 40 mm berbanding Frontier NP300 standard. 

(c) Nissan

Kelengkapan lain pada model ini ialah sistem kawalan dinamik kenderaan (VDC) yang dapat memberikan keselamatan dan cengkaman lebih berkesan. Ia berfungsi dengan mengawasi pergerakan stereng dan brek seterusnya mengurangkan kelajuan enjin dan atau membrek sesebuah roda apabila berlakunya pembelokan berlebihan (under steer/over steer). 

Secara ringkasnya sistem elektronik mengawal cengkaman kenderaan bagi mengelakkan dari tergelincir, terbalik atau hilang kawalan. Sistem VDC turut berinteraksi dengan lain-lain sistem seperti ABS yang dapat membantu dalam pengawalan kenderaan. Sistem pemanduan lain ialah Bantuan Mula Daki (HSA) dan Kawalan Penurunan Curam (HDC).

(c) Nissan

Berbeza dengan Nissan Navara versi tempatan, pikap Amerika Latin ini dikuasakan oleh enjin 2.3 turbo diesel dengan 450 Nm tujahan dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan manual. Frontier ini turut menggunakan sistem suspensi Multilink yang unik untuk pikap dalam segmen ini.

BACA: ADAKAH INI KELAHIRAN SEMULA LAGENDA NISSAN SILVIA?

Selain itu Nissan Argentina sedang bersiap sedia untuk mengeluarkan Frontier pada tahun 2018 di kilang yang terletak di Santa Isabel, Cordoba. Projek ini bernilai AS 600 juta dan bakal mewujudkan 1,000 peluang pekerjaan baharu.

Kilang tersebut juga bakal menjadikan Argentina hab pengeluaran global keempat Frontier selepas Thailand, Mexico dan Sepanyol.

Google ads
Back to top button