Buletin

NISSAN GT-R50 by ITALDESIGN SAH DIJUAL, BOLEH TEMPAH PADA HARGA…

Akhirnya ada juga pengganti Nissan GT-R 35. Walaupun bukan model baharu sepenuhnya tetapi sekurang-kurangnya ada kesinambungan edisi selepas 11 tahun dalam pasaran. Iya, GT-R 35 sudah 11 tahun sejak pertama kali diperkenalkan pada tahun 2007.

Kepada mereka yang mengidam-idamkan sesuatu yang epik Nissan telah mengesahkan GT-R50 by Italdesign bakal dikeluarkan dengan tempahan bermula dari sekarang.

Istimewanya ialah model ini hanya akan dikeluarkan dalam unit yang sangat terhad iaitu 50 sahaja.

Bahagian luaran sama seperti model prototaip yang ditunjukkan sebelum ini di Festival Kelajuan Goodwood, England. Harganya pula tidak lah mahal mana, baru EUR 990,000 belum termasuk cukai dan gayaan tempahan khas.

Tukar duit tempatan jadi RM 4,692,972. (1 EUR = RM 4.74).

Maknanya harga tersebut baru nilai badan standard dan belum termasuk kerja-kerja tempahan khas atau modifikasi. Bila dah siap semua baru betul-betul mahal. Ada hampir RM 10 juta jika dicampur dengan segala cukai dan duti.

Unit binaan model ini bukan diambil dari GT-R 35 biasa tetapi versi GT-R NISMO yang ditala kepada 720PS.

Selain itu seperti namanya, model ini juga istimewa kerana telah menerima sentuhan khas daripada Italdesign dan nama 50 bukan turutan kepada siri R35. Ia merujuk kepada dua ulang tahun ke-50 iaitu Italdesign pada tahun ini dan GT-R pada 2019.

Model prototaip yang ditunjukkan kepada orang ramai berwarna kelabu dengan kemasan emas manakala untuk unit tempahan khas, pelanggan boleh memilih kombinasi warna kegemaran. Pelanggan juga boleh memilih warna interior serta pakej yang dimahukan.

Nissan memang mahu menjayakan projek ini dari awal, selain dibawa ke Goodwood, GT-R50 turut dihantar ke Spa-Francorchamps di Belgium, acara Rolex Monterey Motorsports Reunion di Amerika Syarikat dan Nissan Crossing di Ginza, Tokyo. Bermula 7 Disember, ia dipamerkan di Galeri Nissan di Yokohama.

Akhir sekali kami bawakan pesanan dari penaja; mereka yang berminat boleh melawat laman web www.GT-R50.nissan dan menghubungi Italdesign untuk tempahan khas.

Penghantaran kepada pelanggan akan bermula pada tahun depan sehingga 2020. Rasanya inilah bibit-bibit awal GT-R agung untuk berpuluh tahun akan datang.

Kepada mereka yang meragui nilai eksotik kereta ini jawapannya ialah kita hari-hari boleh beli Ferrari atau Lamborghini tetapi kereta super kacukan Jepun dan Itali ini bukan hari-hari keluar. 50 sahaja pula tu. Sama seperti Hakosuka, siapa sangka harga sekarang dah cecah jutaan RM.

BACA: INI FOTO JARAK DEKAT NISSAN GT-R50 by ITALDESIGN DI GOODWOOD

BACA: INI AYAHANDA GT-R50, NISSAN SKYLINE 2000 GT-R 1972

Google ads
Back to top button