Buletin

NISSAN LEAF NISMO RC – 2 MOTOR ELEKTRIK, 0-100KM/J CUMA 3.4 SAAT

Nissan melancarkan sebuah kereta lumba elektrik, Nissan LEAF NISMO RC di Nissan Crossing, GinzaTokyo baru-baru ini.

Jentera yang dibangunkan oleh divisyen perlumbaan Nissan, NISMO itu dijangka melakukan debut rasmi pada acara NISMO Festival di Fuji International Speedway, hari ini, bersama kereta lumba Formula E.

LEAF NISMO RC membuktikan teknologi kereta elektrik Nissan mampu menawarkan kuasa luar biasa yang menjadi komponen utama visi Nissan Intelligent Mobility.

Nissan merancang menghasilkan enam unit LEAF NISMO RC dan dihantar ke seluruh dunia untuk membolehkan peminat merasai sendiri kuasanya.

Dilengkapi dua motor elektrik berkuasa 240 kilowatt dan tork 640Nm. Kuasa itu adalah dua kali ganda berbanding model LEAF NISMO RC yang pernah diperkenalkan pada tahun 2011.

Kuasa itu diuruskan secara bebas ke setiap gandar, menyalurkan kuasa tork secara serta-merta ke roda bagi membolehkannya dipandu laju di litar.

Sama seperti model sebelumnya, keseimbangan berat chasis dioptimumkan menerusi lokasi pek bateri. Manakala motor elektrik dan inverter diposisikan di hadapan dan belakang tayar.

LEAF NISMO RC menggunakan pelbagai komponen ringan dan struktur monokok perlumbaan gentian karbon sepenuhnya. Ini membolehkan berat badannya cuma 1,220kg.

Hasilnya, nisbah kuasa-berat mengagumkan yang membolehkannya memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 3.4 saat. Manakala pacuan semua roda baharu menjanjikan cengkaman maksimum di atas litar.

Rekaan luaran yang agresif itu diinspirasikan daripada LEAF NISMO RC yang asal. Hud panjang dan gril V-motion mengubah sepenuhnya bahagian hadapan.

Skim warna perak/hitam dan warna merah NISMO yang sama seperti jentera Nissan Formula menyerlahkan lagi penampilannya.

GALERI

 

Google ads
Back to top button