Buletin

NISSAN NAVARA DARK SKY CONCEPT – MAKMAL ANGKASA BERGERAK!

Persaingan dalam segmen pikap bersaiz sederhana nampaknya semakin menarik. Masing-masing menonjolkan keunikan tersendiri. Mitsubishi Triton dengan konsep sedan-pikap, Toyota Hilux pula menonjol melalui ciri-ciri ketahanan dan tahan lasak manakala Ford Ranger pula tampil gagah membawa gaya hidup Amerika Syarikat.

Nissan Navara pula membawa keseimbangan di antara pikap gaya hidup dan keperluan kerja. Kesemua pikap ini mempunyai kelebihan tersendiri dan bagaimana jika itu tidak memadai?

Nissan tampil dengan idea luar biasa iaitu membangunkan pikap Navara Dark Sky Concept pada Pameran Kenderaan Hannover 2018 yang berlangsung sekarang ini.

Pikap konsep ini dibangunkan di United Kingdom dengan kerjasama Agensi Angkasa Eropah (ESA) bagi menghasilkan sebuah makmal astronomi bergerak.

Navara ini disambungkan dengan treler buatan khas yang membawa teleskop kelas pemerhatian. Kelengkapan canggih tersebut dipadankan pada Navara yang dinaik taraf dengan teknologi bantuan pemanduan ProPILOT seperti Intelligent Cruise Control dan Steering Assist technologies.

Teknologi tersebut membolehkan Navara mengekalkan jaraknya dengan kenderaan hadapan dan mengawal stereng supaya tidak terbabas ke laluan bersebelahan.

ESA sekarang ini sedang membuat pemetaan bintang menggunakan satelit Gaia yang telah berjaya menjejaki lebih daripada sejuta bintang.

Nissan Navara Dark Sky Concept pula berfungsi dalam membantu ahli astronomi membuat kerja pemerhatian susulan terhadap alam dari lokasi sukar atau langit gelap (dark sky) yang jauh dari cahaya bandar.

Pada treler di belakang Navara dipasangkan teleskop berkuasa tinggi PlaneWave.

Bagi menarik bebanan treler tersebut, Nissan mengekalkan enjin 2.3 liter diesel turbo berkuasa 190 PS dan tork 450 Nm. Selain itu, pikap konsep ini turut dilengkapi bateri EV mudah alih dan boleh digunakan bila perlu.

Membaca projek seperti ini boleh menimbulkan rasa pintar dan teruja serta meletakkan Navara jauh ke hadapan berbanding pikap lain. Di negara kita, pikap digunakan untuk kerja pembinaan atau rekreasi, konsep daripada Nissan ini pula benar-benar di luar alam. Fuh!

BACA: HIMPUNAN KERETA LUMBA NISSAN DAN DATSUN KLASIK – MELELEH YOB!

BACA: DATSUN GO-live – RM38K & BOLEH LAWAN PERODUA AXIA/MYVI?

Google ads
Back to top button