Buletin

NISSAN PERKENAL SENTRA (SYLPHY) SR TURBO 188HP, MANUAL 6 KELAJUAN.

Nissan baru sahaja memperkenalkan model terbaru mereka untuk pasaran Amerika di Miami Auto Show baru-baru ini. Nissan Sentra SR ataupun juga dikenali dengan nama Sylphy di Malaysia merupakan model kelas pertengahan segmen C untuk mereka yang ingin sebuah kereta yang boleh diharap dan membawa penumpang dari titik A ke titik B tanpa sebarang masalah. Tetapi jika anda ingin prestasi maka anda telah membuat pilihan yang salah. Kini untuk mengimbangi kehendak pasaran semasa, Nissan telah memperkenalkan Nissan Sentra SR Turbo yang lebih berkuasa.

Nissan Sentra SR turbo ini dilengkapi enjin 1.6L Direct Injection Gasoline (DIG) yang mampu menghasilkan 188bhp kuasa maksima dan tork setinggi 240Nm. Ia merupakan enjin yang sama dengan enjin Nissan Juke.

Nissan mendakwa prestasi model ini adalah 50 peratus lebih tinggi berbanding Nissan Sentra SR 1.8L tanpa turbo. Secara teknikalnya juga tenaganya telah dinaikkan sebanyak 64bhp dan penambahan tork pula sebanyak 70Nm. Banyak tu bang.

Sentra SR Turbo ini juga dilengkapi dengan moonroof yang boleh dibuka, satu ciri yang jarang ada untuk kereta pasaran Malaysia berikutan faktor cuaca. Tapi tak ada salahnya kalau ada, sesekali nak juga rasa angin luar masa balik kampung. Kalau dalam Kuala Lumpur ni baik tak payah.

2017-Nissan-Sentra-Turbo-SR-22

Ia juga dilengkapi dengan sistem Blind Spot Warning dan Rear Cross Traffic Alert untuk membantu anda dengan memberi amaran jika ada sebarang masalah. (Biasalah, sekarang ramai yang guna WhatsApp sambil memandu).

Tempat duduknya cukup selesa dengan kemasan kulit dan dilengkapi pemanas di bahagian depan. Tetapi fungsi yang paling menarik semestinya sistem audio Bose Premium yang dipadankan dengan lapan pembesar suara. Mahal tau Bose Premium ni, kalau pergi tanya dekat kedai aksesori audio memang rasa nak meninggal harganya.

Walaupun ini sebuah kereta yang moden, menariknya Sentra SR Turbo ini masih boleh didapati dengan transmisi manual enam kelajuan. Ini baru kereta lelaki sejati. Tetapi untuk keselesaan di bandar semestinya ia juga boleh didapati dengan sistem automatik CVT yang dinamakan Xtronic. Tapi jika anda bercadang untuk memerah kuasa enjin secara 100 peratus, elakkan dari membeli model dengan kotak gear CVT.

2017-Nissan-Sentra-Turbo-SR-25

Untuk menaikkan lagi imej Sentra SR Turbo, ia telah dilengkapkan dengan rim-rim aluminum aloi bersaiz 17 inci dan dibalut pula dengan tayar bersaiz 205/50 R17. Selain daripada itu kuasa hentinya telah dinaik taraf dengan penggunaan cakera bersaiz lebih besar di hadapan. Begitu juga dengan sistem pemanduan dan gantungan yang juga telah dilaras semula agar mampu menahan kuasa yang lebih daripada enjin baharu ini.

Hasilnya ialah kuasa pecutan yang lebih baik baik untuk memotong mahupun memecut di lebuh raya. Ia juga lebih selesa dan stabil menurut kata pihak Nissan. Menurut Nissan juga, ianya merupakan sebuah model untuk mereka yang mahukan sebuah sedan dengan konsep tradisional tetapi juga inginkan kuasa pecutan dari sebuah enjin turbo.

2017-Nissan-Sentra-Turbo-SR-13

Dari segi aksesori luaran pula, ia dilengkapi dengan lampu LED di hadapan, skirting tepi, lampu kabus, hujung eksos kemasan krom dan lampu isyarat LED. Selain daripada itu untuk membezakannya dengan Nissan Sentra SR 1.8 ia turut diberikan lencana SR Turbo.

Persoalannya adakah model ini akan dipasarkan di Malaysia? Jika dilihat pada pasaran Nissan di Malaysia biasanya selepas sesebuah model dikeluarkan, Edisi Nismo akan diperkenalkan. Dan biasanya juga ia lebih kepada naiktaraf secara kosmetik. Mungkin satu hari Nissan akan bertindak lebih agresif dan membawa Sylphy Turbo ke Malaysia. Ini bukannya sesuatu yang  mustahil kerana Honda juga telah memperkenalkan Civic baru berkuasa turbo untuk pasaran Malaysia.

2017-Nissan-Sentra-Turbo-SR-28

Model Sentra SR Turbo ini juga boleh diletakkan sebaris dengan Honda Civic 1.5T berdasarkan angka-angka prestasinya. Bahkan tidak keterlaluan jika ia diletakkan sebaris dengan model-model dari Eropah seperti Ford Focus Diesel.

Dengan pengenalan model-model Eropah dengan harga yang kompetitif rasanya model Sylphy/Sentra SR Turbo ini akan memberikan pulangan wang yang lebih baik kepada pengguna. Harga pasaran terpakai untuk model Jepun biasanya tidak akan jatuh menjunam seperti model-model Eropah. Nissan pun dah lama sangat menyepi dalam liga kereta-kereta power ni. Semenjak habisnya zaman 1.6 Neo dan SR20DET, Nissan sibuk buat Latio dengan Almera. Lemau!

Google ads
Back to top button