Buletin

NISSAN SAMBUNG KEMBALI PRODUKSI KENDERAAN DI JEPUN

Selepas beberapa minggu pengeluaran kenderaan dihentikan di kilang-kilang mereka di Jepun, Nissan kini menyambung semula operasi. Semuanya gara-gara skandal yang melibatkan pemeriksaan akhir kenderaan sebelum dikeluarkan dari kilang.

Walaupun ia tidak menjejaskan model-model yang dieksport tetapi sikap bertanggungjawab yang ada pada Nissan harus diberikan pujian. Bukannya kecil kerugian yang terpaksa ditanggung bila pengeluaran terpaksa dihentikan.

Awal pagi ini, Nissan menyatakan yang pihak kementerian pengangkutan Jepun telah meluluskan perubahan pada prosedur pemeriksaan akhir barisan pemasangan dan hanya satu kilang sahaja lagi yang belum beroperasi iaitu di Kyoto.

Dalam satu kenyataan, pengeluar kenderaan bertaraf antarabangsa itu memohon maaf atas kesulitan yang terpaksa ditanggung oleh para pelanggan danjuga pemegang saham di Jepun.

Pengeluaran domestik Jepun telah ditangguhkan sejak dari 19 Oktober bila skandal ini timbul melibatkan pemeriksaan barisan akhir pengeluaran dilakukan oleh juruteknik yang tidak mempunyai tauliah.

Skandal ini juga telah membuatkan sejumlah 1.2 juta unit kenderaan Nissan yang dijual di Jepun dalam tempoh tiga tahun terkini terpaksa dipanggil semula untuk pemeriksaan. Ia juga menjadi punca kemerosotan jualan Nissan dalam bulan Oktober yang mencecah 55 peratus.

BACA: PRODUK KOBE STEEL SELAMAT DIGUNAKAN – JELAS MAZDA, TOYOTA DAN HONDA

Ini merupakan satu perkara terpuji yang menjadi budaya masyarakat Jepun iaitu bertanggung atas semua perkara yang dilakukan. Jika dibaca dalam akhbar sekalipun, adalah sesuatu yang biasa bila seorang menteri ataupun pegawai kanan kerajaan Jepun meletakkan jawatan jika gagal menjalankan tugas. Dekat negara lain ada ke?

Sebenarnya skandal ini tidaklah seteruk yang disangka kerana ia cuma peraturan yang ditetapkan untuk kenderaan edaran di Jepun dan tidak melibatkan model eksport. Malah isu keselamatan kenderaan juga tidak timbul.

Malah jika dibandingkan dengan skandal Kobe Steel, ia jauh lebih kecil saiznya tetapi kesanggupan Nissan memikul tanggungjawab atas kesilapan mereka memang wajar diberikan pujian.

Google ads
Back to top button