Buletin

OVERDRIVE – FILEM DENGAN KOLEKSI KERETA BERNILAI JUTAAN DOLAR

Tahun ini memang sarat dengan filem-filem aksi kereta yang telah ditayangkan dan bakal ditayangkan. Daripada filem yang menghimpunkan sekumpulan abang sado botak tapi macho seperti The Fate of the Furious sehinggalah ke filem budak hingusan tapi terer bawak kereta macam Baby Driver. Tapi kami tahu ia belum mencukupi untuk memenuhi selera kehendak kaki kereta macam Pak Amid.

Kini muncul sebuah lagi filem dengan aksi kereta yang tak kurang hebatnya (jauh lebih hebat jalau banding dengan Impak Maksima – jangan marah aaa) bertajuk ‘Overdrive’. Lebih menarik kerana ia bukan sebuah filem berkisarkan perlumbaan tetapi kegiatan pencuri kereta professional.

Mesti korang ingat sebijik macam filem Gone in 60 Seconds kan? Memang benar tetapi ia lebih kepada adunan dua buah filem, Gone in 60 Seconds dan Fast and Furious sendiri. Antara persamaannya ialah berdasarkan trailer, watak utama filem ini turut merompak treler besar yang sedang bergerak, pernah dengar tak? Cuma kali ini ia digarap semula agar lebih hebat dan mendebarkan.

BACA: FILEM AKSI KERETA YANG WAJIB ANDA TONTON TAHUN INI

Ia bukan sesuatu yang pelik kerana penulis skrip filem ini juga orang yang sama terlibat dalam pembikinan filem 2 Fast 2 Furious. Tapi sekurang-kurangnya ia bukan filem aksi keluarga adiwira yang cuba menyelamatkan dunia dengan melompat antara bangunan pencakar langit ke bangunan sebelah dengan kereta.

Pemilihan kereta-kereta untuk filem ini memang bukan calang-calang. Antara model yang ditampilkan dalam filemini ialah Bugatti Type 57 Atlantic yang pernah mencatatkan rekod jualan USD30 suatu ketika dahulu, Ferrari 250 GTO (pernah dijual dengan harga USD38 juta), Ferrari F40, Porsche 356, Porsche 911 dan tidak lupa juga kereta-kereta sports moden seperti Honda Civic Type R.

Susunan muzik yang bertenaga disulami dengan bunyi ekzos kereta-kereta bagaikan orkestra dunia automotif.

Secara ringkasnya ia mengisahkan tentang dua orang pencuri kereta professional yang telah tersilap langkah bila secara tidak sengaja telah mencuri daripada seorang ketua kumpulan penjenayah terkenal. Untuk menebus balik kebebasan dan nyawa mereka, mereka harus mencuri koleksi kereta-kereta bernilai tinggi daripada musuh ketat ketua penjenayah tersebut. Mereka mengumpulkan sekumpulan pencuri kereta dengan kepakaran masing-masing untuk menjayakan rancangan tersebut dalam masa satu minggu ataupun nyawa mereka akan melayang.

Okey nak lagi best kena la tonton sendiri, mana boleh cerita semua nanti hilang saspen.

Google ads
Back to top button